Trend nepotisme, dinasti politik di rantau Asia

No Image Caption
A
A
A

PENYERAHAN kuasa daripada bapa kepada anak adalah sama seperti zaman raja dan maharaja yang biasa dipraktikkan sejak berabad lalu.

Pada era kini, dinasti politik semakin berkembang di negara demokrasi serta di bawah pemerintahan diktator. Ia bukanlah perkara baharu dan tidak hanya dimonopoli di Asia.

Tetapi, rantau berkenaan terus menyaksikan negara dipimpin individu daripada kelompok yang mempunyai pertalian darah atau nepotisme.

Kajian pada 2018 menunjukkan lebih satu daripada 10 pemimpin di seluruh dunia berasal daripada keluarga mempunyai saudara terdekat yang sudah terlibat dalam politik.

Berikut adalah antara 'nepo baby' yang memperkukuhkan kedudukan mereka di rantau Asia dek pengaruh keluarga masing-masing.

---------------

1. Dinasti Hun Sen (Kemboja)

Setelah memegang kuasa selama empat dekad, pemimpin autoritarian Kemboja, Hun Sen menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada anak sulungnya, Hun Manet pada Ogos 2023.

Artikel Berkaitan:

Hun Sen pada mulanya berjanji tidak akan campur tangan dalam hal ehwal kepimpinan anaknya, namun segalanya berubah pada April lalu.

Beliau menjadi Presiden Senat yang memberi kuasa lebih besar sebagai pemangku pemerintah apabila Raja Norodom Sihamoni terlibat urusan di luar negara memandangkan baginda sering melakukan pemeriksaan di China.

Hun Sen juga berhak untuk campur tangan jika timbul krisis di bawah kepimpinan anaknya.

2. Legasi Shinawatra (Thailand)

Parti Pheu Thai kembali memegang kuasa di bawah kepimpinan Paetongtarn yang merupakan anak bongsu bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Paetongtarn, 38, atau Ung Ing akhirnya mengikut jejak langkah bapa dan ibu saudaranya, Yingluck untuk bergelar Perdana Menteri, sekali gus menjadi pemimpin paling muda dalam sejarah menerusi pelantikan baru-baru ini.

No Image Caption

Kepulangan Thaksin ke tanah air pada tahun lalu telah membuka peluang kepada Paetongtarn untuk mengukuhkan kedudukan legasi Shinawatra apabila beliau dilantik sebagai pemimpin Pheu Thai dan sedikit sebanyak membuktikan pengaruh bapanya masih kuat.

3. Keluarga Marcos (Filipina)

Pada Jun 2022, Ferdinand Marcos Jr atau Bongbong dilantik sebagai Presiden ke-17 Filipina, sekali gus menghidupkan semula legasi keluarganya dan mengembalikan zaman kegemilangan pemerintahan diktator bapanya yang digulingkan pada 1986.

Seramai enam daripada sembilan Presiden yang pernah memegang tampuk pemerintahan di Manila adalah berasal daripada keluarga Macapagal, Marcos dan Aquino.

No Image Caption

Pendahulunya, Rodrigo Duterte juga cuba memastikan keluarganya terus mempunyai kuasa tertinggi dan ia dibuktikan dengan pelantikan Sara sebagai Naib Presiden di bawah pentadbiran Marcos Jr.

4. Sinetron keluarga Jokowi (Indonesia)

Perkembangan drama politik di Indonesia semakin panas, gara-gara Presiden Joko Widodo atau Jokowi dikatakan cuba 'menyalurkan kuasa' kepada anak-anaknya di bawah amalan nepotisme.

Dakwaan itu terbukti apabila putera sulungnya, Gibran Rakabuming Raka bakal menjadi Wakil Presiden (Wapres) pada Oktober depan selepas kemenangan penggantinya, Prabowo Subianto juga dikaitkan dengan 'sokongan' beliau.

No Image Caption

Jokowi sekali lagi cuba memperkukuhkan legasi keluarganya apabila mahu memastikan anak bongsunya, Kaesang Pangarep untuk memegang jawatan penting pada Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) pada November depan.

Tetapi, hasrat itu dihalang Mahkamah Konstitusi (MK) yang enggan mengubah had umum minimum 30 tahun ditetapkan terhadap calon bertanding.

5. Legasi Lee Kuan Yew (Singapura)

Keluarga Lee Kuan Yew mempunyai hubungan yang rapat dengan politik di Singapura sejak 1950-an iaitu sebelum kemerdekaan negara itu.

Kuan Yew memegang jawatan Perdana Menteri pada 1965-1990 dan mengekalkan pengaruh beliau dalam politik sehingga meninggal dunia pada 2015.

No Image Caption

Anak sulungnya, Hsien Loong memasuki politik partisan pada 1984 sebelum menjadi pemimping generasi ketiga (3G) pada 2004 untuk meneruskan legasi bapanya dan kini diwarisi barisan pemimpin generasi keempat (4G).

6. Dinasti Kim (Korea Utara)

Korea Utara diperintah salah satu pemerintahan diktator paling lama di dunia.

Tiga generasi bermula daripada era pengasasnya, Kim Il-sung telah mentadbir negara itu dengan kuasa mutlak dan melaksanakan sistem naungan yang memastikan sokongan keluarga elit dan tentera.

No Image Caption

Pyongyang kini ditadbir Jong-un yang memegang kuasa sejak 2012. Beliau mempergiatkan pembangunan program dan ujian senjata nuklear serta satelit pengintip hingga mengundang resah negara-negara jirannya.

7. Legasi Sheikh Hasina (Bangladesh)

Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang telah menerajui negara itu selama 15 tahun akhirnya melepaskan jawatan beliau susulan siri protes ganas yang menuntut pengundurannya.

Anak kepada pengasas dan hero kemerdekaan, Sheikh Mujibur Rahman ini menggunakan pengaruh bapanya untuk mengembalikan semula pemerintahan awam.

No Image Caption

Namun, pemerintahan wanita besi ini dibayangi dendam kerana keluarganya dibunuh ketika rampasan kuasa pada 1875 hingga menyebabkan Hasina tamak kuasa dan menjadi pemimpin autokratik yang ditentang rakyat.

8. Legasi Sharif (Pakistan)

Anak kepada bekas Perdana Menteri Pakistan, Maryam Nawaz Sharif mencipta sejarah menjadi Ketua Menteri wanita pertama pada awal tahun lalu.

Pesaing beliau mendakwa beliau mendapat kelebihan daripada amalan nepotisme.

No Image Caption

Selepas Pilihan Raya Umum pada Februari lalu, bapa saudaranya, Shehbaz turut dilantik sebagai Perdana Menteri setelah Parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PMLM) bergabung dengan Parti Rakyat Pakistan (PPP) untuk menubuhkan kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!