Golongan muda perlu pertahan tulisan jawi
PASIR MAS - Meskipun berketurunan Cina, Owee Ching Lyu, 82, bukan sahaja pandai membaca malah mampu menulis jawi dengan baik setanding masyarakat Melayu.
Minat mendalam terhadap jawi membuatkan Ching Lyu atau nama Melayunya, Pak Awang masih menyimpan rapi bahan bacaan bertulisan jawi.
Menurut Pak Awang, minat terhadap tulisan jawi berputik sejak kecil ketika dia menuntut di Sekolah Melayu Pasir Mas.
“Bertitik tolak dari situlah saya belajar menulis dan membaca jawi.
“Kemahiran ini bertahan sehingga sekarang walaupun berlaku penambahbaikan cara ejaan jawi,” katanya ketika ditemui Sinar Ahad di Kampung Sakar Sungai, baru-baru ini.
Menurutnya, dia mula mempelajari tulisan jawi daripada gurunya, Abdullah Harun bermula dari 1951 sehingga 1957.
Ujarnya, berkat ajaran gurunya menjadikan dirinya mahir menggunakan tulisan berkenaan.
Pak Awang berkata, percampuran bersama masyarakat Melayu ketika bersekolah menjadikannya lebih selesa menggunakan tulisan jawi sehingga hari ini.
Ujarnya, selain itu galakan daripada anak-anak menyemarakkan lagi semangatnya untuk terus mengasah kemahiran membaca dan menulis jawi.
“Bagi saya belajar jawi sangat mudah. Sebagai manusia, kita perlu mencari pelbagai ilmu untuk kehidupan,” katanya.
Pak Awang berkata, secara tidak langsung tulisan jawi dapat mendaulatkan bahasa Melayu dengan menjadikannya sebagai medium komunikasi bersama enam anak perempuannya termasuk menantu dan 12 cucu selain bahasa Cina.
“Saya harap generasi muda hari ini dapat mempertahankan tulisan jawi supaya ia tidak lenyap ditelan arus kemodenan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!