MBI baik pulih jalan retak, berlubang

Keretakan jalan yang berlaku di Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park seperti yang tular sedang dalam tindakan pihak MBI dan pengguna jalan raya dinasihat mematuhi papan tanda arahan keselamatan di kawasan tersebut
Keretakan jalan yang berlaku di Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park seperti yang tular sedang dalam tindakan pihak MBI dan pengguna jalan raya dinasihat mematuhi papan tanda arahan keselamatan di kawasan tersebut
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil maklum mengenai kejadian jalan retak dan berlubang di Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park di sini yang tular menerusi media sosial sejak semalam.

MBI menerusi satu kenyataan memaklumkan kejadian tersebut memang berlaku berdekatan kawasan kerja-kerja naik taraf kelubung paip oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Menurutnya kejadian tersebut berlaku disebabkan hakisan tebing berhampiran struktur kelubung paip yang baru sahaja disiapkan pada awal bulan Ogos lalu melalui kaedah 'jacking'.

"Melalui semakan pihak MBI, hakisan tebing tersebut berlaku disebabkan korekan yang dijalankan oleh pihak kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan struktur inlet (alur masuk air) di mulut masuk kelubung tersebut.

"Kerja-kerja pengukuhan tebing telah mula dilaksanakan dengan kaedah pemasangan beg pasir dan rekahan serta lubang dipermukaan jalan juga telah dikambus dengan bahan batuan hancur bagi tindakan segera di tapak untuk mengelakkan berlakunya runtuhan yang lebih serius," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, pihak MBI menjangkakan kerja-kerja pembinaan struktur alur masuk air akan siap dilaksanakan dalam tempoh seminggu.

Menurutnya, terdapat juga kerja pemasangan longkang U yang perlu disambungkan dari alur masuk air sedia ada ke muka kelubung.

Jelasnya, kerja-kerja naik taraf kelubung ini dijangka akan dapat disiap sepenuhnya pada pertengahan September 2024 ini.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan dengan itu, pihak MBI memohon pengguna jalan raya mematuhi papan tanda arahan keselamatan di kawasan tersebut untuk keselesaan masa hadapan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!