Ramai nak jadi cucu 'ahma' - Shane
SHAH ALAM - Walaupun berketurunan Baba dan Nyonya, namun kemahiran memasak hidangan masyarakat Melayu dan India sebagai juadah harian merupakan perkara biasa.
Bagi wanita bernama Tan Saw Sim,76, tidak pernah jemu memasak malah hampir setiap hari dia menyediakan antara tujuh hingga lapan jenis lauk untuk dijamu oleh ahli keluarganya.
Ia susulan video TikTok cucuknya, Chin Shane Wei atau Inshaneat yang memaparkan neneknya atau lebih mesra dipanggil ‘ahma’ menyediakan nasi ulam, nasi lemak, tosai dan juga kari.
Menurut pemuda yang berasal dari Pulau Pinang itu, juadah harian itu akan disediakan oleh neneknya dan semua cucu akan datang ke dapur membantu menyediakan bahan memasak.
“Pada awalnya saya secara suka-suka merakam hidangan yang dibuat oleh nenek sewaktu keluarga kami berkumpul. Bermula dari situ ramai pengikut yang mula suka melihat nenek menyediakan pelbagai hidangan dengan kuantiti yang banyak.
“Resepi nasi ulam antara yang kami sering buat dan semua orang akan mula bergotong-royong di dapur membantu nenek menyediakan pelbagai jenis hidangan memandangkan keluarga kami ramai.
“Selepas beberapa video memasak nenek mula tular, ramai yang mahu menjadi 'cucu' nenek kerana mereka dapat mengimbau kenangan bersama orang tua dalam keluarga masing-masing," katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian baru-baru ini.
Sementara itu, Shane berkata, perkara itu jarang dilakukan oleh generasi muda masa kini menyebabkan mereka tidak mengenali budaya dan asal usul dengan baik.
Tambahnya, dengan meraikan kepelbagaian budaya, masyarakat akan lebih memahami antara satu sama lain selain memupuk semangat perpaduan kaum di negara ini.
“Pada pandangan saya makanan dan budaya itu kedua-duanya saling melengkapi dan penting supaya kita boleh mengenali diri kita dan orang lain dengan lebih baik.
“Kebanyakan generasi muda pada hari ini sudah hilang perasaan ingin tahu itu tetapi bagi saya semua yang saya belajar dari nenek merupakan perkara baru dan sangat menarik apabila kita belajar serta teroka sendiri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!