LRA Sungai Bernam mula operasi secara berperingkat
SHAH ALAM - Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Bernam dihenti tugas sementara susulan kepada peningkatan kadar kekeruhan yang tinggi dikesan di Sungai Bernam pada Sabtu.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, pada masa sama, berlaku kejadian kepala air di kawasan hulu Sungai Slim dan Sungai Geliting yang akhirnya mengalir ke Sungai Bernam, Selangor.
“Kami berkomunikasi dengan pihak berkuasa Perak dan melakukan semakan serta siasatan menyeluruh ke kawasan yang dikenal pasti membabitkan Sungai Slim, Sungai Bil dan Sungai Geliting, dekat Perak.
“Pemerhatian juga dilakukan sepanjang hari di kawasan terbabit. Ia faktor peningkatan kekeruhan luar biasa berbanding hari biasa,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya malam tadi.
Dalam pada itu, LUAS turut memaklumkan situasi semasa di Sungai Bernam menunjukkan trend penurunan bacaan kekeruhan yang positif.
“Namun, ia pada kadar yang agak perlahan disebabkan jumlah aliran sedimen yang tinggi daripada kejadian aliran kepala air.
“Pasukan LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berada di tapak memantau rapi keadaan semasa,” ujarnya.
Pada sabtu, media melaporkan sebanyak 205 kawasan di Sabak Bernam dan satu lagi di Hulu Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Bagaimanapun, Air Selangor dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, sehingga jam 9:00 malam tadi, LRA Sungai Bernam sudah mula beroperasi secara berperingkat susulan henti tugas sementara loji tersebut berikutan kekeruhan air mentah yang tinggi akibat aliran kepala air di Sungai Bernam.
“Sehingga jam 6:00 pagi, LRA Sungai Bernam masih sedang dipulihkan secara berperingkat dan pemantauan kualiti air secara berkala terus dijalankan bagi mengukur kadar kekeruhan air mentah di Sungai Bernam disebabkan cuaca hujan lebat semalam.
“Buat masa ini, pengisian kolam imbangan air terawat sedang dilakukan dan bekalan air akan mula diagihkan setelah mencapai paras diperlukan serta mematuhi piawaian kualiti air terawat,” menurut Air Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!