Hukuman buang daerah bagi pemberi, penerima, orang bersubahat rasuah

Individu terlibat rasuah sama ada pemberi, penerima atau bersubahat perlu dihukum bagi memerangi jenayah itu secara holistik. Gambar hiasan (Gambar kecil: Hamdan Daniel)
Individu terlibat rasuah sama ada pemberi, penerima atau bersubahat perlu dihukum bagi memerangi jenayah itu secara holistik. Gambar hiasan (Gambar kecil: Hamdan Daniel)
A
A
A

SHAH ALAM - Individu terlibat rasuah sama ada pemberi, penerima atau bersubahat perlu dihukum bagi memerangi jenayah itu secara holistik.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, golongan itu patut dikenakan hukuman berat seperti dibuang daerah.

"Tindakan buang daerah perlu dilaksanakan supaya menjadi teladan kepada yang lain agar berfikir panjang kesan kepada diri sendiri serta keluarga sekiranya terjebak rasuah.

"Rasuah juga boleh dikatakan ibarat ibu segala jenayah, ia boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan, masyarakat serta ekonomi negara," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, seorang pegawai penguat kuasa sebuah agensi di Georgetown yang disyaki meminta rasuah kira-kira RM6,500 sebagai balasan membantu menyelesaikan kes berkaitan judi laga ayam hari ini ditahan reman selama tiga hari.

Majistret Mohamad Azlan Basri mengeluarkan perintah reman hingga 25 Ogos ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tambah Hamdan Daniel, usaha memerangi rasuah perlu membabitkan kerjasama semua pihak kerana ia tidak dapat dilaksanakan mana-mana individu atau organisasi secara solo.

"Komitmen pelbagai pihak amat penting terutama dalam mengamalkan prinsip benci rasuah dengan membudayakan antirasuah dalam diri sendiri demi kelangsungan hidup aman bahagia tanpa jenayah tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang penting, kerajaan perlu tegas dan menggandakan usaha memerangi rasuah dalam semua aspek terutama dalam kalangan penjawat awam.

"Dua aspek utama perlu diberi perhatian iaitu hukuman tegas dilaksanakan tanpa gentar dan pilih kasih serta seterusnya melakukan langkah pencegahan untuk mengukuhkan integriti," katanya.

Jelas beliau, tegas dan tidak pilih kasih ialah dua kata kunci penting serta wajib dijadikan prinsip utama kerajaan serta petugas atau pemantau integriti di setiap jabatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!