Gangguan bekalan air di Muallim pulih sepenuhnya petang ini

Mohammad Nizar (lima dari kiri) bersama warga Kementerian Kesihatan yang menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma sempena Program Jelajah Sejahtera Desaku DUN Sungai Rapat di padang Taman Lapangan Jaya, Kampung Rapat pada Ahad.
Mohammad Nizar (lima dari kiri) bersama warga Kementerian Kesihatan yang menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma sempena Program Jelajah Sejahtera Desaku DUN Sungai Rapat di padang Taman Lapangan Jaya, Kampung Rapat pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Gangguan bekalan air melibatkan ribuan pengguna di daerah Muallim akibat paip pecah disebabkan bencana kepala air di Ulu Slim dijangka pulih sepenuhnya petang ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sehingga malam tadi 60 peratus kerja-kerja pembaikan di kawasan yang terjejas sudah disiapkan.

Menurutnya, kawasan yang masih terjejas dibekalkan dengan tangki-tangki air sementara masalah tersebut diselesaikan sepenuhnya.

"Walaupun jambatan runtuh, paip air LAP (Lembaga Air Perak) pecah, ia tidak memberikan kesan besar kerana kita ada tangki air yang mencukupi. Dalam masa 24 jam kita dapat kembalikan bekalan air

"Paip pecah semalam sekitar jam 7 hingga 8 malam dapat kita baiki hampir 60 peratus. Kalau kerja-kerja dapat diselesaikan hari ini bekalan air dapat dipulihkan sepenuhnya petang ini, Insya-ALLAH," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Program Jelajah Sejahtera Desaku Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di padang Taman Lapangan Jaya, Kampung Rapat di sini pada Ahad.

Sementara itu mengenai pembinaan Jambatan Bailey menghubungkan Slim Village dengan Bandar Behrang, Mohammad Nizar berkata, kerja-kerja pembinaan tapak telah dimulakan semalam.

Menurutnya, pembinaan jambatan sementara itu akan mengambil masa seminggu untuk disiapkan dan ia bergantung kepada cuaca sama ada kepala air akan kembali berlaku atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi usaha untuk membuat tapaknya sudah mulai dibuat mulai semalam dan hari ini jadi apabila tapak itu dibuat di kedua-dua belah kiri dan kanan bagi memastikan ia stabil untuk digunakan dalam masa seminggu.

"Ini usaha kerajaan untuk memastikan Slim Village dan Behrang terhubung bagi memudahkan urusan penduduk untuk pergi ke sekolah dan bekerja.

"Cuma kita tidak membenarkan kenderaan berat lebih 30 tan gunakan Jambatan Bailey ini. Kita beri keutamaan kepada orang nak pergi dan balik kerja serta anak-anak yang hendak ke sekolah, kita hadkan berat kenderaan," katanya.

Mohammad Nizar berkata, faktor cuaca setakat ini tidak menghalang untuk semua pihak terlibat membuat kerja-kerja di lapangan dan jika berlaku risiko keselamatan, kerja-kerja akan dihentikan.

Pada Sabtu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan bahawa sebuah Jambatan Bailey akan dibina bagi memberi kemudahan kepada penduduk dan pengguna Jalan Slim River-Behrang Ulu yang runtuh akibat kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim Village di sini pada Jumaat.

Sepanjang tempoh itu, penduduk terlibat masih boleh menggunakan laluan alternatif lain terletak agak jauh yang menghubungkan ke jalan utama.

Kejadian kepala air yang berlaku pada Jumaat lalu mengakibatkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan iaitu jambatan struktur konkrit di jalan negeri manakala dua lagi merupakan jambatan kampung di Kampung Pasir dan Kampung Sungai Muda yang menghubungkan Kampung Piong.

Jambatan konkrit di Jambatan Lama Sungai Slim yang mempunyai lebar 7.5 meter dan panjang 77 meter runtuh selepas mengalami kegagalan disebabkan tidak dapat menahan tekanan daripada sisa kayu yang hanyut bersama aliran air deras.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!