Final Piala FA: JDT tidak pamer belang sebenar
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) tidak akan pernah rasa puas dan terus meningkatkan kualiti pasukan sekali gus meraih lebih banyak kejuaraan pada masa akan datang.
Pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, ia merupakan falsafah utama JDT dan dominasi Harimau Selatan dalam kancah Liga Malaysia akan diteruskan selepas membelasah antara pencabar utama, Selangor FC 6-1 dalam aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menurutnya, Harimau Selatan sentiasa tahu cara bermain di perlawanan akhir dan mereka telah menunjukkan potensi, namun mengakui pasukan kendaliannya itu belum mempamerkan belang sebenar.
"Para pemain bermain dengan bijak. Hari ini pemain telah menunjukkan potensi mereka, namun saya pasti JDT boleh memberikan lebih baik. Kami perlu terus menambah baik (prestasi pasukan) setiap hari.
"Saya tidak tahu sama ada persembahan pemain adalah paling terbaik pada hari ini kerana saya tidak suka menganalisis perlawanan akhir kerana perlawanan akhir pasukan kena menang," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam perlawanan akhir itu, JDT mengukuhkan status mereka sebagai kuasa bola sepak Malaysia apabila mencipta sejarah menjuarai Piala FA buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Gergasi Merah.
Gol JDT dijaringkan oleh Juan Muniz pada minit ke-26, 27 dan 89, Arif Aiman Hanapi (m-42), Bergson Da Silva (m-62) dan Heberty Fernandes (m-76) manakala gol saguhati Gergasi Merah dijaringkan oleh Alvin Fortes (m-59).
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih atas kesungguhan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa tahu untuk memotivasikan pemain untuk meraih kemenangan.
"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pemain kerana memberikan persembahan terbaik dari segi intensiti dan dinamik sepanjang perlawanan.
"Penyokong juga memainkan peranan penting dengan sokongan mereka yang luar biasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!