Sediakan infrastruktur SBEZ, elak ekspatriat tinggal di negara jiran

Haim Hilman
Haim Hilman
A
A
A

ALOR SETAR - Pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam perlu dilengkapi kemudahan infrastruktur strategik bagi mengelak ekspatriat atau pekerja luar negara tinggal di sempadan negara jiran.

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, aspek pembangunan komersial dan kediaman juga harus diberikan keutamaan bagi kawasan pembangunan industri.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak boleh mengulangi situasi yang berlaku di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), yang didakwa terlepas pandang dalam penyediaan kemudahan terbabit sebelum ini.

“Pembangunan kilang-kilang yang pesat berlaku di KHTP sehingga mencecah nilai RM105 bilion, namun dalam hal berkenaan, kita terlepas pandang.

“Ketika ini sangat kritikal untuk kita bangunkan SBEZ. Jangan kita ulangi, ini bukan suatu yang mendukacitakan tetapi terlepas pandang apa yang berlaku di KHTP, kita bangunkan kilang yang luar biasa sejak tiga tahun kebelakangan.

“Namun pembangunan komersial dan kediaman tiada, jangan diulangi di SBEZ,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan pertanyaan lisan Abdul Ghafar Saad (Bersatu-Guar Chempedak) yang mahu mengetahui status pembangunan SBEZ.

Haim Hilman turut melahirkan kebimbangan sekiranya tidak diusahakan segera, kawasan bersempadan Thailand seperti Danok akan membangun, menyebabkan ekspatriat memilih menetap di Danok walaupun bekerja di SBEZ.

Artikel Berkaitan:

“Jika ia benar-benar berlaku, ia mendukacitakan kita,” katanya.

Menurutnya lagi, perkara itu wajar dijadikan peringatan kepada kerajaan negeri untuk menangani isu tersebut dengan memastikan pembangunan infrastruktur strategik di kawasan terbabit dibangunkan segera.

“Pelabur tidak berminat untuk tahu tentang sentimen dalaman kita, pada mereka adakah infrastruktur strategik telah tersedia. Jejambat di Changlun harus dibangunkan segera dan segala usaha bersama Kerajaan Persekutuan perlu digerakkan selain isu trafik,” jelasnya lagi.

SBEZ berkeluasan 4,705 hektar terbahagi kepada dua komponen iaitu Kedah Science & Technology Park (KSTP) dan Delapan SBEZ, termasuk kawasan seluas 2,139 hektar yang dizonkan sebagai kawasan perindustrian milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Terdahulu, Haim Hilman berkata, SBEZ perlu dibangunkan secara strategik kerana ia adalah pintu gerbang kepada pasaran Indochina seperti Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam, selain China.

“Ia juga menjadi pintu gerbang dan titik masuk untuk negara Asia Selatan yang dipanggil Indo-Gangetic Plain iaitu India, Bangladesh, Pakistan, Buthan, Nepal, Sri Lanka, Afghanistan dan Maldives.

“Fasa 1 KSTP berkeluasan 167 hektar telah dibangunkan oleh PKNK dan bersedia menerima pelabur. Untuk Fasa 2A, kerja pembangunan fizikal dan tanah akan bermula hujung bulan depan sebelum dijangka selesai dan bersedia menerima pelabur pada 2026,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Delapan SBEZ pula sedang giat dibangunkan dengan pembangunan Fasa 1 (Depoh Kontena Dalaman) dan Fasa 2 (Kompleks Pergudangan Zon Komersial Bebas) kini mencapai kemajuan pembangunan 98 peratus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!