Kumpul tandatangan penduduk Temerloh sempena merdeka
TEMERLOH - Hampir 1,000 tandatangan telah berjaya dikumpul menerusi program 'Ikrar Merdeka Rakyat' yang dijalankan di beberapa lokasi strategik di daerah ini.
Program anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Temerloh itu antara salah satu aktiviti yang dianjurkan cabang tersebut sempena sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini.
Ketuanya, Syahril Rizal Tajudin berkata, program istimewa terbabit bertujuan untuk mengumpulkan sebanyak mungkin tandatangan penduduk Temerloh.
Menurutnya, tandatangan itu kemudiannya akan dipamerkan di tempat-tempat ikonik di daerah ini.
"Insya-ALLAH, kami juga berhasrat untuk menyerahkan ikrar ini secara peribadi kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ikrar Rakyat Temerloh ini menjadi bukti nyata akan cintanya kita terhadap tanah air tercinta ini.
"Kami yakin bahawa penglibatan khususnya golongan anak muda tanpa mengira bangsa Melayu, Cina, dan India menjadi bukti perpaduan yang telah kita bina bersama selama ini," katanya kepada Sinar Harian.
Selain di Lepak Lorong Pasar Anak Muda yang menjadi tarikan terbaharu di sini pada Jumaat, program mengumpul tandatangan itu turut diadakan di Esplanade Temerloh pada Ahad.
Ujarnya lagi, tema 'Jiwa Merdeka' yang dipilih adalah platform yang tepat bagi rakyat Malaysia dalam mendalami makna sebenar kemerdekaan.
"Ia diterjemahkan melalui kasih sayang dan toleransi antara kita semua, menunjukkan betapa kita menghargai dan memperjuangkan keamanan serta keharmonian dalam masyarakat majmuk ini," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!