Patuhi SOP keselamatan di tapak perkhemahan

Jamaliah (dua dari kiri) bergambar pada Program Malar Hijau Penyemaian 33,333 Benih Pokok Berembang 2024 di Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan pada Ahad.
Jamaliah (dua dari kiri) bergambar pada Program Malar Hijau Penyemaian 33,333 Benih Pokok Berembang 2024 di Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Semua pihak termasuk penyedia perkhidmatan perkhemahan dan pelancongan diingatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan di tapak perkhemahan.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, semua SOP itu sudah lengkap dan perlu dipatuhi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu.

"Sebenarnya garis panduan sudah ada, bukan sahaja di waktu persekolahan dan cuti umum semata-mata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Malar Hijau Penyemaian 33,333 Benih Pokok Berembang 2024 di Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, katanya, agensi terlibat juga diharap dapat meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko terutama pada cuti hujung minggu.

"Saya sarankan pihak berkuasa atau pun agensi-agensi terlibat menjalankan pemantauan lebih kerap terutama di lokasi berisiko tinggi," ujar beliau.

Ditanya mengenai kegelisahan orang ramai berhubung gangguan bekalan air yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Bernam dihenti tugas sejak Sabtu, Jamaliah berkata, agensi terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengambil tindakan sewajarnya

Beliau berkata, penduduk terjejas diharap dapat bersabar kerana masalah itu sedang diambil tindakan agensi terbabit bagi mempercepatkan usaha pemulihan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu memberikan mereka sedikit ruang kerana setiap tindakan itu mempunyai proses-proses tertentu dan memerlukan masa untuk selesai sepenuhnya," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, LRA Sungai Bernam dihenti tugas sementara susulan kepada peningkatan kadar kekeruhan yang tinggi dikesan di Sungai Bernam.

LUAS dalam kenyataannya memaklumkan, berlaku kejadian kepala air di kawasan hulu Sungai Slim dan Sungai Geliting yang akhirnya mengalir ke Sungai Bernam, Selangor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!