1,755 kekosongan jawatan masih aktif di Terengganu

Farihah (tengah) berbual bersama pengunjung Karnival Kerjaya MyFutureJobs 'Tiada Yang Terpinggir' 2024 di KTCC Mall, Kuala Terengganu pada Ahad.
Farihah (tengah) berbual bersama pengunjung Karnival Kerjaya MyFutureJobs 'Tiada Yang Terpinggir' 2024 di KTCC Mall, Kuala Terengganu pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 1,755 kekosongan jawatan yang direkodkan masih aktif di Terengganu sejak 2023 hingga Julai lalu.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Farihah Che Husin berkata, peluang tersebut wajar direbut oleh pencari kerja melalui Karnival Kerjaya MyFutureJobs 'Tiada Yang Terpinggir' 2024.

Menurutnya, karnival selama dua hari bermula Sabtu di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di sini menawarkan 3,742 peluang pekerjaan bermula jawatan pembantu am hingga kumpulan profesional dan berkemahiran tinggi dengan tawaran gaji mencecah RM6,000

"Sebanyak 65 majikan menyertai karnival itu yang berlangsung selama dua hari sejak semalam (Sabtu) dan berakhir jam 6 petang ini.

"Kita amat menggalakkan pencari kerja untuk datang ke karnival-karnival yang kami anjurkan kerana dapat bertemu empat mata dengan bakal majikan.

"Melalui karnival seperti ini, pencari kerja boleh membawa terus dokumen yang sesuai dan menjalani temuduga kedua sekiranya layak," katanya kepada pemberita selepas melawat karnival itu pada Ahad.

Farihah (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada seorang peserta yang mengunjungi Karnival Kerjaya MyFutureJobs 'Tiada Yang Terpinggir' 2024 di KTCC Mall, Kuala Terengganu pada Ahad.
Farihah (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada seorang peserta yang mengunjungi Karnival Kerjaya MyFutureJobs 'Tiada Yang Terpinggir' 2024 di KTCC Mall, Kuala Terengganu pada Ahad.

Tambah Farihah, sebanyak 25,181 jawatan telah berjaya diisi oleh pencari kerja menerusi karnival sama yang diadakan di Terengganu sejak 2020 hingga 5 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

"Angka ini membuktikan kejayaan program tersebut yang dijalankan dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu untuk membantu rakyat mencari pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan kelayakan mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, antara majikan yang terlibat dalam karnival kali ini ialah Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd, Agro Bank, Malaysia Rail Link, KTCC Mall, Puspakom Sdn Bhd dan Sogo Department Store.

Selain itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bank Simpanan Nasional, Kasut U Sdn Bhd dan Noor Arfa Holdings Sdn Bhd turut membuka reruai sempena festival tersebut.

"Seramai 226 pengunjung telah berjaya mendapat pekerjaan yang sesuai dengan mereka manakala 1,017 pengunjung lagi layak untuk menghadiri temuduga yang seterusnya.

"Antara kekosongan jawatan terbesar ditawarkan ialah dalam sektor pembuatan iaitu 762 kekosongan, pentadbiran awam dan pertahanan (700), pengangkutan dan penyimpanan (500), perdagangan borong dan runcit (419) serta kewangan, insurans dan takaful (310)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!