Tanah jerlus Masjid India: Wajah sugul, penuh harapan anak menanti ibu tercinta

Anak mangsa tanah jerlus, Surya (duduk, kanan) kelihatan sugul ketika berada di lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India.
Anak mangsa tanah jerlus, Surya (duduk, kanan) kelihatan sugul ketika berada di lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seawal pagi, susuk pemuda ini - dengan wajah penuh sugul sudah berada di lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India, di sini.

Tiada siapa tahu apa yang terbuku di hati Surya, namun, raut wajahnya jelas menterjemah kedukaan dan kerinduan yang sarat ditanggungnya.

Menanti berita mengenai ibunya, Vijayaletchumy, 48, yang setakat ini masih belum ditemui sejak insiden tanah jerlus pada pagi Jumaat lalu, barangkali, tempoh masa yang paling lama pernah dilalui Surya dalam hidupnya.

Sesekali, kelibat Surya, 26, mundar-mandir ke khemah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tiada siapa juga tahu apa yang dia inginkan dan rasai - kerana anak sulung kepada mangsa ini masih belum bersedia memberikan kenyataan kepada wartawan.

Sudah tentu ini masa sukar untuk Surya dan ahli keluarganya, ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih tidak membuahkan hasil.

Suami mangsa turut dilihat berada di lokasi kejadian menantikan perkembangan operasi SAR.
Suami mangsa turut dilihat berada di lokasi kejadian menantikan perkembangan operasi SAR.

Hari ini memasuki tempoh 48 jam sejak indisen tersebut berlaku dan pasukan SAR melibatkan pelbagai agensi masih giat melakukan pencarian.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Operasi SAR ditangguhkan selepas tiada petunjuk baharu ditemukan.

Menurut, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, pasukan penyelamat sudah menjalankan pencarian di enam lurang kumbahan sekitar lokasi dan di loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam pada Sabtu.

Katanya, pencarian dalam dua lurang kumbahan terakhir dan loji kumbahan IWK di Pantai Dalam yang selesai jam 7 malam tadi juga tidak menemukan mangsa.

Enam lokasi itu adalah di Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian Lebuh Pasar Besar dan Bulatan Kinabalu.

Ketika ini haya doa dan harapan yang mampu kita sandarkan selain mengharap kejaiban Yang Maha Esa untuk menjawab persoalan dan kegusaran Surya dan seluruh masyarakat yang masih menanti hasil pencarian. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!