Dua maut, motosikal berkuasa tinggi rempuh kereta buat pusingan U

Keadaan motosikal berkuasa tinggi yang dinaiki mangsa setelah terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Baru, Kuala Besut pada pagi Ahad.
Keadaan motosikal berkuasa tinggi yang dinaiki mangsa setelah terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Baru, Kuala Besut pada pagi Ahad.
A
A
A

BESUT - Dua lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dengan kereta jenis Perodua Viva dekat Kampung Baru, Kuala Besut di sini pada pagi Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.35 pagi itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang menaiki dua kenderaan tersebut maut di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia ialah penunggang motosikal jenis BMW S1200RT, Mohd Alfendi Che Mat Nor, 38 yang berasal dari Jerantut, Pahang dan pemandu Perodua Viva, Aziz Deris, 59, dari Kuala Besut.

Anggota penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan setelah terlibat kemalangan di Kampung Baru, Kuala Besut pada pagi Ahad.
Anggota penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan setelah terlibat kemalangan di Kampung Baru, Kuala Besut pada pagi Ahad.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan itu dikatakan dari arah Jertih menghala ke Kuala Besut.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dikatakan telah membuat pusingan U sebelum dirempuh pada bahagian pemandu oleh motosikal yang datang dari arah belakang di laluan sama," katanya di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta anggota badan, manakala pemandu kereta cedera parah di kepala.

Artikel Berkaitan:

Anggota penyelamat bergegas ke lokasi kemalangan dekat Kampung Baru, Kuala Besut pada pagi Ahad.
Anggota penyelamat bergegas ke lokasi kemalangan dekat Kampung Baru, Kuala Besut pada pagi Ahad.

"Mayat kedua mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut dan kes tersebut disiasat di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Menurut Azrol, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Sidiq Che Omar di talian 011-3170 2709.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati semasa memandu dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!