Kedah lulus pindaan masukkan Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh

Sanusi ketika membentangkan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 untuk meletakkan Mahkamah Syariah di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.
Sanusi ketika membentangkan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 untuk meletakkan Mahkamah Syariah di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Ahad meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 untuk meletakkan Mahkamah Syariah di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika membentangkan pindaan itu berkata, pindaan tersebut bertujuan menambah baik struktur Mahkamah Syariah dengan mewujudkan empat peringkat mahkamah berbanding hanya tiga peringkat sebelum ini.

Menurutnya, menerusi pindaan tersebut, Mahkamah Utama Syariah diwujudkan sebagai pelengkap kepada tiga peringkat sedia ada, iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

“Ia selari dengan titah Sultan Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menitahkan langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah dilakukan dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang berkenaan.

Pindaan berkenaan disokong sebulat suara 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-15 di Wisma Darul Aman.

Turut diluluskan Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) bagi menyelaras beberapa tafsiran dalam RUU itu dan memperluas perwakilan kewajipan atau kuasa Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).

Pindaan turut melibatkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam bagi menyelaras beberapa tafsiran dalam RUU, serta sebagai suatu pindaan berbangkit selari dengan pemansuhan Enakmen Mahkamah Syariah (Kedah Darul Aman) 2008 dan digantikan dengan enakmen baharu.

Ia turut membabitkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, pelantikan Hakim, serta kuasa keempat-empat Mahkamah Syariah yang ditubuhkan.

Artikel Berkaitan:

Pindaan juga merangkumi pelantikan anggota Mahkamah Syariah dan kes-kes yang dibicarakan.

Sanusi memaklumkan, Rang Undang-Undang itu juga bertujuan untuk meminda Seksyen 37 Enakmen No 11/2008 berkenaan gangguan seseorang yang menghalang lelaki atau perempuan yang telah mencapai umur untuk berkahwin dengan sah.

Pada 4 Mac lalu, Sultan Sallehuddin menitahkan kerajaan menyemak semula struktur Mahkamah Syariah seperti sistem hierarkinya supaya memberi lebih ruang keadilan kepada pihak terbabit.

Baginda bertitah, kerajaan juga perlu menambah baik kedudukan jawatan Hakim Mahkamah Syariah supaya setanding dengan sistem yang diguna pakai di Mahkamah Sivil.

Pindaan ini menjadikan Kedah negeri kedua selepas Perak mewujudkan lapisan keempat dalam sistem Mahkamah Syariah dan negeri kedua meletakkan Mahkamah Syariah bawah undang-undang tubuh selepas Terengganu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!