Nahas 4 kenderaan, polis tahan seorang pemandu
PONTIAN - Pemandu kereta BMW yang terbabit dalam nahas empat kenderaan mengorbankan satu nyawa manakala tujuh lagi cedera di kilometer 42.5 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat, di sini, pada awal pagi Ahad, sudah ditahan reman.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, hasil ujian air kencing terhadap lelaki warga tempatan berusia 43 tahun itu adalah negatif.
"Pemandu terbabit ditahan reman selama sehari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam nahas sekitar jam 1 pagi itu, pemandu BMW terbabit menuju ke arah Pekan Nanas manakala tiga lagi kenderaan iaitu Proton Saga, Perodua Kelisa dan Axia dari arah bertentangan.
"Kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu kereta BMW melalui selekoh telah hilang kawalan lalu terbabas memasuki ke laluan bertentangan dan melanggar Proton Saga, Perodua Kelisa dan Axia.
"Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu kereta Perodua Kelisa warga tempatan berusia 33 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Manakala penumpang yang merupakan isteri mangsa berusia 32 tahun cedera parah di bahagian kepala dan patah tangan kanan. Kesemua tujuh mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Pontian," katanya.
Menurut beliau, mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Pontian untuk dibedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!