Pemain muda menyerlah di Sukma buat BAM dalam dilema

Prestasi cemerlang pemain muda di pentas Sukma 2024 memberikan isyarat positif sukan badminton masih belum ketandusan pemain berbakat di peringkat akar umbi. Foto Bernama
Prestasi cemerlang pemain muda di pentas Sukma 2024 memberikan isyarat positif sukan badminton masih belum ketandusan pemain berbakat di peringkat akar umbi. Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) pastinya ‘pening kepala’ memilih pemain ke Kejohanan Remaja Dunia di Nanchang, China, bulan depan, susulan prestasi cemerlang dipamerkan pemain muda di pentas Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang berakhir semalam.

Mungkin ini menimbulkan dilema kepada barisan kejurulatihan, namun pada masa sama ia memberikan isyarat positif bahawa sukan badminton masih belum ketandusan pemain berbakat di peringkat akar umbi.

Jurulatih skuad remaja kebangsaan, Ameer Amri Zainuddin berkata, Sukma kali ini mencerminkan tiada jurang yang besar antara pemain muda dan pemain senior sekali gus mencipta situasi menarik tapi mencabar buat BAM.

"Sukma kali ini sangat sengit. Kalau dulu tengok pemain senior berusia bawah 21 tahun selalunya ada jurang yang jauh dengan pemain junior, namun kali ini pemain muda lebih menyerlah.

"Hal ini memberi tekanan kepada senior, namun secara tidak langsung menunjukkan wujud persaingan sihat dalam badminton untuk pemain remaja terutamanya mereka yang berada dalam pemerhatian BAM untuk disenaraikan di Kejohanan Remaja Dunia,” katanya kepada Bernama.

Menurut Ameer Amri, antara pemain remaja yang mencuri tumpuan pada edisi kali ini ialah perseorangan wanita, Oo Shan Zi dari Pulau Pinang yang berjaya mencipta kejutan menewaskan perseorangan wanita, K Letshanaa dari Selangor pada pusingan separuh akhir.

Pemain lain ialah beregu Muhammad Faiq Haziq Masawi-Lok Hong Quan dari Selangor yang meraih emas selepas menewaskan senior mereka, Goh Boon Zhe-Rayner Beh Chun Meng (Pulau Pinang).

Beregu wanita Johor, Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu turut menyerlah selepas meraih emas manakala Aaron Tai Wei Qin cemerlang dalam acara beregu campuran bersama Noraqilah Maisarah Ramdan dari Melaka.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ameer Amri berkongsi badan induk itu sudah mengenal pasti beberapa permata baharu untuk diserapkan ke dalam pasukan remaja kebangsaan antaranya Low Zi Yu yang kini berusia 14 tahun.

"Pemain yang kita lihat ada potensi ialah Low Zi Yu yang berjaya meraih emas pada usia 14 tahun.

"Bagi saya ia pencapaian yang bagus buat pemain itu dan dia antara pemain yang berpotensi menyinar pada masa hadapan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!