PM ucap tahniah kepada JDT menang Piala FA

Pasukan JDT meraikan kemenangan selepas menjuarai Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. Foto Bernama
Pasukan JDT meraikan kemenangan selepas menjuarai Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad mengucapkan tahniah kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) atas pencapaian menjulang Piala FA selepas menewaskan Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini semalam.

Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri turut meluahkan rasa kagum dengan semangat yang ditampilkan pasukan Gergasi Merah dalam perlawanan tersebut.

"Tahniah JDT yang memenangi pertandingan semalam. Kekalkan tradisi sukan untuk memupuk perpaduan. Kagum dengan semangat pasukan Selangor,” katanya dalam hantaran itu.

Kejayaan Harimau Selatan merangkul trofi Piala FA 2024/25 dengan membelasah Selangor 6-1 semalam menyaksikan skuad di bawah kendalian Hector Bidoglio itu meraih kemenangan hatrik selepas turut mengungguli piala berprestij itu pada edisi 2022 dan 2023.

JDT memperoleh kemenangan menerusi jaringan hatrik Juan Muniz serta Arif Aiman Hanafi, Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes manakala Selangor FC memperoleh gol menerusi Alvin Fortes. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!