Seminar Teknikal ISSA 2024 tampil 20 pakar antarabangsa

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 20 pakar pengamal keselamatan sosial terkemuka dunia akan ditampilkan sebagai panel Seminar Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) 2024 berkenaan Keselamatan Sosial untuk Pekerja Sendiri dan Pekerja Platform yang bakal berlangsung pada Selasa dan Rabu ini.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, seminar yang merupakan anjurannya bersama ISSA itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

"Program ini memberi fokus berkenaan peningkatan kesedaran memperluas perlindungan keselamatan sosial, mendidik peserta tentang perkembangan terkini dalam ekonomi gig dan memberi maklumat mengenai trend masa depan serta mengenal pasti kelompongan dan penyelesaian efektif dalam perlindungan keselamatan sosial sedia ada.

"Mereka akan membincangkan berkenaan amalan terbaik dan penyelesaian teknikal yang memberi penekanan aspek keselamatan sosial untuk individu bekerja sendiri dan pekerja platform," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka hadir untuk merasmikan Seminar Teknikal ISSA 2024.

Program bertaraf antarabangsa ini turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Presiden ISSA ke-17, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Antara barisan panel yang akan berkongsi input sepanjang dua hari tersebut adalah Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Profesor Emeritus Datuk Dr Norma Mansor; Ketua Pakar Teknikal - Perlindungan Sosial, Pasukan DWT, Pejabat Serantau Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Bangkok, Kenichi Hirose dan Timbalan Felo Penyelidik, Institut Penyelidikan Persaraan Kebangsaan Korea, Dr In Young Jung.

Turut ditampilkan adalah Ketua Setiausaha ISSA, Marcelo Abi-Ramia Caetano; Pengurus Kumpulan Protokol dan Entiti, Institusi Keselamatan Sosial Turkiye, Zeynep Gunder dan ramai lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambah PERKESO, lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara dijangka menghadiri seminar tersebut.

"Antara peserta antarabangsa yang telah menyatakan kehadiran adalah dari Switzerland, Korea, Jepun, Singapura, Thailand, India, China, Turkiye dan banyak lagi," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!