[VIDEO] Perak pilih Masjid Ibnu Salam lokasi utama Malaysia #QuranHour

A
A
A

IPOH - Masjid Ibnu Salam, Pengkalan Pegoh di sini menjadi lokasi utama Malaysia #QuranHour Peringkat Negeri Perak yang akan berlangsung 28 Ogos ini.

Pengerusi Rumah Ngaji Negeri Perak, Robaatun Hadayiah Harun berkata, pihaknya mendapat kerjasama yang baik daripada masjid berkenaan untuk merealisasikan penganjuran program berkenaan pada tahun ini.

Menurutnya, bagaimanapun kali ini sambutan bagi program berkenaan di Perak dibuat lebih awal berbanding jadual asal serentak pada 30 Ogos ini.

Penggerak Rumah Ngaji Perak bersama-sama ahli jawatankuasa Masjid Ibnu Salam mempromosikan Program Malaysia #QuranHour Peringkat Negeri Perak yang akan diadakan di Masjid Ibnu Salam, Pengkalan Pegoh pada 28 Ogos ini.
Penggerak Rumah Ngaji Perak bersama-sama ahli jawatankuasa Masjid Ibnu Salam mempromosikan Program Malaysia #QuranHour Peringkat Negeri Perak yang akan diadakan di Masjid Ibnu Salam, Pengkalan Pegoh pada 28 Ogos ini.

"Rumah Ngaji Perak melaksanakan program Malaysia #QuranHour lebih awal pada tahun ni kerana tarikh 30 Ogos itu merupakan hari Jumaat yang mana masjid tidak bersedia serta tidak mahu ganggu persiapan untuk Solat Jumaat.

"Bagaimanapun pada 30 Ogos ini masih banyak hotspot di Perak yang akan bersama-sama menganjurkan program berkenaan serentak dengan lokasi perdana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Robaatun Hadayiah berkata, bagi penganjuran pada Rabu ini, seramai lebih 500 peserta dijangka hadir memeriahkan program di Masjid Ibnu Salam.

Menurutnya, majlis perasmian program akan disempurnakan Pensyarah Kanan Universiti Sultan Azlan Shah, Profesor Madya Dr Ahmad Husni Hassan yang merupakan Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak 2024.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sejurus perasmian, program yang dijadual bermula seawal jam 9 pagi itu diteruskan dengan bacaan surah Al-Fatihah diikuti Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5 dan bacaan surah Al Jumu'ah.

Beliau berkata, selepas itu tadabbur surah Al-Jumu'ah akan disampaikan sebelum diperdengarkan bacaan surah Al-Hujurat ayat 2, 6, 11, 12 dan 13 diikuti tadabbur surah berkenaan.

"Besar harapan kami untuk mengajak rakyat di Perak memahami serta menghayati erti kemerdekaan memandangkan penganjuran program ini dilaksanakan di dalam bulan kebangsaan.

"Kita juga mahu rakyat di negeri ini bersama mendalami apa yang ALLAH SWT firmankan melalui ayat dari surah Al-Jumaah dan surah Al-Hujurat," katanya.

Dalam pada itu, Robaatun Hadayiah memaklumkan walaupun di peringkat negeri dibuat lebih awal beberapa Rumah Ngaji seperti di Seberang Perak, Teluk Intan dam sekitar daerah Hilir Perak akan kekal melaksanakan program tersebut pada 30 Ogos.

Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi.

Slot tersebut akan bersiaran secara langsung melibatkan wakil media antaranya ialah Sinar Harian, Astro Oasis, TV9, Bernama, TV Alhijrah, Zayan, Astro Awani, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Denaihati.com dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar utama Malaysia #QuranHour.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!