Insiden kepala air: Penduduk bergelut bersihkan lumpur tebal

Penduduk melakukan pembersihan selepas rumah mereka dipenuhi lumpur di Kampung Pasir, Ulu Slim dekat Slim Village pada Ahad.
Penduduk melakukan pembersihan selepas rumah mereka dipenuhi lumpur di Kampung Pasir, Ulu Slim dekat Slim Village pada Ahad.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Penduduk kampung yang terjejas dalam kejadian kepala air di Slim Village dekat Slim River di sini, terpaksa bekerja keras untuk membersihkan barangan yang rosak kesan lumpur di rumah mereka.

Tinjauan mendapati penduduk mula pulang sebentar ke rumah setelah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Masjid di sini, bagi memulakan proses pembersihan berikutan bekalan air mula pulih.

Seffee Hussain, 66, berkata, impak kejadian itu menyebabkan kelengkapan rumah termasuk barangan elektrik serta sebuah kereta dan motosikal musnah.

Seffee
Seffee

"Hari pertama kejadian, kami tidak boleh masuk kerana kawasan rumah umpama sebuah pulau kerana dikelilingi air.

"Rumah saya antara yang terawal terkena hentaman kepala air Sungai Geliting.

"Kejadian Jumaat lalu antara terburuk dialami sejak tinggal tahun 1981 hinggakan tidak sempat menyelamatkan dokumen penting dan telefon bimbit. "Apa yang penting keselamatan isteri yang baru sembuh strok," katanya ketika ditemui di Kampung Pasir di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Penduduk mengangkat perabot-perabot rumah mereka yang musnah dalam insiden kepala air di Slim Village pada Ahad.
Penduduk mengangkat perabot-perabot rumah mereka yang musnah dalam insiden kepala air di Slim Village pada Ahad.

Seffee yang juga peniaga berkata, lumpur tebal menyebabkan kerja-kerja pembersihan mengambil masa lama.

"Anak-anak dari Kuala Lumpur balik bantu tetapi agar sukar bersihkan. Sudah setengah hari, bahagian ruang tamu belum sepenuhnya dibersihkan lagi.

"Bilik tidur dan dapur belum terusik kerana memerlukan kudrat yang ramai untuk dibersihkan. Diharapkan ada pihak yang sudi membantu penduduk yang terjejas teruk," katanya.

Bagi suri rumah, Nurul Fatin Amira Aripin, 34, keluarganya hanya tinggal sehelai sepinggang selepas barangan keperluan dihanyutkan arus deras.

Nurul Fatin Amira
Nurul Fatin Amira

"Balik dari PPS pilu keadaan rumah dengan pakaian sekolah anak, barangan elektrik seperti peti ais dan mesin basuh dipenuhi lumpur.

"Sedih sangat mengenangkan tiada satu pun pakaian yang boleh diambil untuk anak-anak.

"Saya tidak mampu nak bersihkan rumah tambahan ada dua anak istimewa dan menjaga ibu saudara yang memerlukan perhatian," katanya.

Media melaporkan muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting di Ulu Slim di sini, pecah menyebabkan kejadian kepala air yang mengakibatkan 175 mangsa terpaksa dipindahkan ke dua PPS.

Pada masa sama, 21 orang terperangkap di Taman Eko Risda sebelum berjaya diselamatkan bomba pada tengah hari pada Sabtu.

Kejadian yang berlaku mengakibatkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan iaitu jambatan struktur konkrit di jalan negeri manakala dua lagi merupakan jambatan kampung di Kampung Pasir dan Kampung Sungai Muda yang menghubungkan Kampung Piong.

Jambatan konkrit di Jambatan Lama Sungai Slim yang mempunyai lebar 7.5 meter dan panjang 77 meter runtuh selepas mengalami kegagalan disebabkan tidak dapat menahan tekanan daripada sisa kayu yang hanyut bersama aliran air banjir.

Arus deras kepala air itu turut mengakibatkan 70 peratus daripada keseluruhan 12,000 akaun pengguna di daerah Muallim mengalami gangguan bekalan air.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!