UMNO terus pertahan Melayu-Islam tanpa perlu ekstrem - Azalina

Datuk Seri Azalina Othman Said
Datuk Seri Azalina Othman Said
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangunan Islam di Malaysia turut disumbangkan oleh peranan UMNO yang konsisten mempertahankan kesucian agama tanpa perlu bersifat radikal dan ekstrem.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pegangan UMNO mempertahankan Melayu-Islam untuk masyarakat negara ini juga membolehkan Malaysia diiktiraf sebagai negara Islam progresif.

"Terasnya, UMNO adalah pertubuhan yang telah dan akan terus mempertahankan perkara-perkara asas yang berkaitan dengan agama Islam dan hak istimewa orang Melayu, Perkara 3, 152 dan 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Biar dalam apa dua keadaan, UMNO tidak akan berkompromi dalam soal agama, etnik dan Raja (3R).

"Malahan sewaktu dibawa agenda untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Perjanjian Rome Statute, UMNO telah menolak sejak awal lagi dan tidak akan membenarkan ia dibuat selagi parti ini terus berjuang untuk masyarakat Melayu-Islam.

"Barangkali ada yang melihat BN-UMNO hanya sekadar menjadi pelengkap kerajaan, namun dalam kedudukan Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri bersama keseluruhan anggota Kabinet dari parti keramat ini, tidak seincipun akan dibiarkan maruah dirobek atau dirobohkan perjuangan ke atas Melayu-Islam," katanya dalam kenyataan sempena pasca Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, agenda berterusan dalam pembangunan kesejahteraan masyarakat Melayu-Islam juga yang tidak menjejaskan kehidupan umat ini di tanah air sendiri.

Ini kerana katanya, pada asasnya UMNO mendukung prinsip keluhuran Perlembagaan dan Rukun Negara sebagai penggerak dan nadi serta tulang belakang masa depan Melayu-Islam negara ini.

Artikel Berkaitan:

"UMNO juga tidak akan membenarkan perpecahan berlaku disebabkan sesetengah pemimpin atau parti yang sentiasa membuat percaturan politik.

"UMNO tidak akan menggelar sesiapa sebagai ‘dajal’ kerana bagi UMNO, benteng kekuatan orang Melayu-Islam adalah kepimpinan berwawasan sebagaimana terbukti sepanjang UMNO ditubuhkan.

"Kemarahan dan emosi sukar dikawal jika kita mahu lakukan segalanya mengikut keselesaan, apatah lagi sehingga ia meminggirkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air," katanya.

Sehubungan itu jelas beliau, UMNO akan terus menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dulu, kini dan selamanya.

"Hatta, kedaulatan undang-undang seperti dalam Rukun Negara Ketiga yang berlandaskan kepada keluhuran Perlembagaan perlu dihormati agar tidak merencat proses pembangunan dan kerancakan pembaharuan demi masa depan anak bangsa dan Negara Malaysia tercinta kita ini.

"Proses undang-undang tidak mengenal latar jalur politik, agama mahupun kelas dan persempadanan negeri," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!