Filipina sahkan kes pertama koronavirus
MANILA - Filipina semalam mengesahkan kes pertama jangkitan novel koronavirus (2019-nCoV) membabitkan seorang wanita China berusia 38 tahun, lapor agensi berita Xinhua.
Perkara itu disahkan Setiausaha Kesihatan Filipina, Francisco Duque pada satu sidang media dan mengatakan wanita itu tiba di Filipina dari Wuhan, China melalui Hong Kong pada 21 Januari lalu.
"Wanita itu dimasukkan ke hospital kerajaan pada 25 Januari selepas mengalami batuk yang tidak serius.
"Dia asimptomatik (tidak menunjukkan sebarang gejala), tiada demam dan gejala lain setakat ini," kata Duque.
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa semua langkah berjaga-jaga yang perlu telah diambil untuk menghalang penularan virus itu.
Wanita itu adalah antara 23 orang yang diletakkan di bawah pemantauan, kebanyakannya warga China. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!