Jambatan mendap: Jalan dekat Fair Park ditutup sementara

Kerja-kerja membaik pulih jambatan yang mendap dan terjejas akan dilakukan sepanjang penutupan jalan berkenaan. Foto Polis IPD Ipoh
Kerja-kerja membaik pulih jambatan yang mendap dan terjejas akan dilakukan sepanjang penutupan jalan berkenaan. Foto Polis IPD Ipoh
A
A
A

IPOH - Jalan Kamarudin Isa dekat Fair Park di sini akan ditutup selama lima jam mulai jam 7 malam ini susulan insiden mendapan di jambatan di laluan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan orang awam berkaitan insiden mendapat tersebut daripada orang awam jam 10.45 pagi pada Ahad.

Katanya, susulan aduan tersebut, pihak polis telah menjalankan kawalan lalu lintas sepanjang laluan yang terjejas dari semasa ke semasa.

"Justeru itu, pihak polis akan melaksanakan penutupan jalan bermula 7 malam hingga 12 tengah malam nanti bermula di persimpangan lampu isyarat Jalan Ghazali Jawi hingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Raja Ashman Shah yang ditutup satu arah manakala laluan dari arah Jalan Raja Ashman Shah ke Jalan Ghazali Jawi dibuka seperti biasa.

Anggota polis membantu mengawal lalu lintas sepanjang laluan yang terjejas dari semasa ke semasa. Foto Polis IPD Ipoh
Anggota polis membantu mengawal lalu lintas sepanjang laluan yang terjejas dari semasa ke semasa. Foto Polis IPD Ipoh

"Penutupan jalan ini bertujuan memberi laluan kepada kerja-kerja membaik pulih jambatan yang mendap dan terjejas itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Zainal Abidin menasihati pengguna jalan raya khususnya warga Bandar raya Ipoh supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif.

Katanya, ia bertujuan mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh penutupan jalan dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam satu kenyataan memaklumkan kerja-kerja pembaikan kawasan tersebut sedang giat dilaksanakan.

Mereka memaklumkan kejadian tersebut berlaku disebabkan hakisan tebing berhampiran struktur kelubung paip yang baru sahaja disiapkan pada awal bulan Ogos lalu melalui kaedah 'jacking'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!