KD Pendekar tenggelam langgar objek bawah air, 39 kru selamat

Kapal TLDM tenggelam selepas mengalami kebocoran, dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor pada Sabtu. - Gambar/ FB Persatuan Abang Tanjung Penang
Kapal TLDM tenggelam selepas mengalami kebocoran, dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor pada Sabtu. - Gambar/ FB Persatuan Abang Tanjung Penang
A
A
A

BANDAR PENAWAR - Kesemua 39 kru Kapal Diraja (KD) Pendekar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berhadapan detik mencemaskan apabila kapal itu tenggelam selepas mengalami kebocoran, dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor pada Sabtu.

Markas TLDM dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, kejadian yang berlaku ketika penugasan operasi pada jam 12 tengah hari itu dipercayai berpunca daripada pelanggaran dengan objek di bawah air.

"Kesemua kru tersebut telah diselamatkan, dan fokus utama TLDM kini adalah untuk melakukan operasi salvaj bagi menyelamatkan kapal tersebut.

“Kebocoran yang mula dikesan di bilik jentera kapal telah merebak dengan cepat dan tidak terkawal. Kesemua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya.

“TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan kadar segera bagi mengenal pasti punca kejadian,” menurut kenyataan itu lagi.

TLDM dalam kenyataan tersebut merakamkan jutaan terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat atas tindakan pantas memberi bantuan terhadap insiden tersebut iaitu Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti maritim yang berada di persekitaran.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden, dan boleh merujuk kepada sumber rasmi TLDM untuk perkembangan terkini dan maklumat sebenar. - Awani

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!