Angka korban banjir kilat di Indonesia meningkat kepada 13 orang
JAKARTA - Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban, dua cedera dan beberapa lagi dilaporkan hilang selepas banjir kilat dan tanah runtuh merosakkan rumah serta infrastruktur di wilayah Maluku Utara, Indonesia pada Ahad, menurut pegawai agensi bencana, lapor Xinhua.
Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, Abdul Muhari berkata, beberapa rumah dan jalan raya rosak di kota Ternate akibat bencana alam itu.
Beliau berkata, operasi memindahkan mangsa yang terjejas sedang dijalankan dengan pasukan tindak balas pantas daripada agensi itu dan pihak lain turut terlibat.
Menurut beliau, agensi itu juga sedang menjalankan penilaian risiko terhadap bencana berkenaan.
Ketua Pejabat Pengurusan dan Mitigasi Bencana wilayah Maluku Utara, Fehby Alting berkata, empat jentera berat telah dikerahkan untuk membantu dalam misi mencari dan menyelamat.
"Usaha mencari mangsa yang hilang masih diteruskan," kata Alting.
Beliau berkata, hujan lebat yang bermula pada Sabtu mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh di bandar Ternate. - Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!