Dr Akmal Saleh kini bergelar Datuk
MELAKA - Ketua Pemuda UMNO yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dr Muhamad Akmal Saleh menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, membuat hantaran mengenai penganugerahan itu dan berterima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam dan kerajaan negeri.
Menurutnya, meskipun merasakan lebih ramai individu yang lebih layak untuk mendapat darjah itu, namun beliau menganggap anugerah berkenaan adalah untuk semua warga DUN Merlimau dan Pergerakan Pemuda UMNO.
"Mewakili rakyat DUN Merlimau dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya mengucapkan terima kasih sekali lagi atas penghargaan yang diberi kepada kami.
“Terima kasih dan selamat hari lahir TYT Tun. Moga ALLAH SWT berikan Tun kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan,” tulis beliau di Facebook pada Ahad.
Terdahulu, seramai 352 individu tersenarai untuk menerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam ke-75.
Turut menerima darjah pelakon Remy Ishak atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak yang dianugerahkan DPSM bergelar Datuk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!