Lawatan Menteri Luar Brazil buka lembaran baharu hubungan dengan Malaysia

Anwar (empat, kanan) menerima kunjungan hormat Vieira di Kompleks Seri Perdana, pada Ahad. Turut hadir, Mohamad dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong. Foto Bernama
Anwar (empat, kanan) menerima kunjungan hormat Vieira di Kompleks Seri Perdana, pada Ahad. Turut hadir, Mohamad dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Brazil, Mauro Vieira pada Ahad di Wisma Putra.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pihak meneliti dan membincangkan kerjasama sedia ada antara Malaysia dan Brazil yang merentasi pelbagai bidang.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pertemuan itu merangkumi pelbagai topik, termasuk perdagangan dan pelaburan; industri halal; kesihatan; sains, teknologi dan inovasi; hubungan antara rakyat dan pembangunan keupayaan serta pertukaran lawatan di peringkat tertinggi.

Kementerian Luar berkata, kedua-dua menteri itu turut bertukar-tukar pandangan untuk meningkatkan kerjasama menerusi forum serantau dan pelbagai hala, termasuk ASEAN, BRICS, Kumpulan 20 atau G20 dan Persidangan ke-30 Pihak-Pihak (COP) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

"Kedua-dua menteri luar turut menyentuh secara ringkas tentang perkembangan antarabangsa, termasuk situasi di Gaza dan konflik Rusia-Ukraine.

"Menteri Vieira juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana untuk membincangkan lebih lanjut mengenai hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Brazil,” menurut kenyataan itu.

Menurut Kementerian Luar, perbincangan mereka tertumpu kepada lawatan rasmi Perdana Menteri ke Brazil pada November 2024, serta aspirasi Malaysia untuk menyertai BRICS dengan Vieira mengalu-alukan permohonan Malaysia dan memberi jaminan kepada Perdana Menteri mengenai sokongan Brazil.

Kementerian itu berkata, lawatan berkenaan secara keseluruhan telah membuka lembaran baharu hubungan dua hala Malaysia-Brazil dalam usaha mengukuhkan kerjasama yang terjalin sejak 1959.

Artikel Berkaitan:

Brazil terus menjadi rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin.

Pada 2023, Malaysia dan Brazil mencatatkan jumlah dagangan sebanyak RM17.46 bilion iaitu peningkatan sebanyak empat peratus berbanding RM16.86 bilion yang dicatatkan pada 2022.

Lawatan rasmi dua hari ke Malaysia dari 24 hingga 25 Ogos menandakan lawatan pertama Vieira ke negara ini sebagai Menteri Luar sejak memegang jawatan itu pada 1 Jan 2023. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!