Malaysia #QuranHour pupuk minat dekati, fahami al-Quran

Penganjuran Malaysia #QuranHour 2024 kali ke-10 yang bakal berlangsung pada 30 Ogos ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Penganjuran Malaysia #QuranHour 2024 kali ke-10 yang bakal berlangsung pada 30 Ogos ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia #QuranHour memainkan peranan penting dalam memupuk minat masyarakat khususnya generasi muda untuk belajar, membaca dan memahami al-Quran.

Bilal muda yang juga pembantu tadbir Masjid Al-Ehsaniah Taman Intan Perdana, Port Dickson, Negeri Sembilan, Muhammad Iqbal Suharidon berkata, dengan menyertai program itu, ia ibarat membuka mata bagi golongan tersebut menyelami maksud kandungan sekali gus menerapkan ajaran kitab suci dalam mendepani kehidupan serta cabaran mendatang.

"Walaupun Malaysia #QuranHour berlangsung selama satu jam tetapi pengisian melalui sesi tadabbur surah dapat mengukuhkan kefahaman ke dalam jiwa.

"Ia secara langsung menjadikan semangat mencintai al-Quran semakin bercambah dalam diri pembaca.

"Selain itu, dengan menyertai program tersebut membolehkan generasi muda merasakan mereka berada dalam sebahagian daripada komuniti yang berkongsi nilai dan matlamat yang sama," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi.

Ia bertemakan Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara bagi mendalami erti sebenar Rukun Negara menerusi Surah Al-Jumu’ah dan Al-Hujurat.

Slot tersebut akan bersiaran secara langsung melibatkan wakil media antaranya ialah Sinar Harian, Astro Oasis, TV9, Bernama, TV Alhijrah, Zayan, Astro Awani, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Denaihati.com dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar utama Malaysia #QuranHour.

Artikel Berkaitan:

Tambah Muhammad Iqbal yang berusia 22 tahun itu, Malaysia #QuranHour adalah program keramaian dan keagamaan yang mengajak umat Islam untuk meluangkan masa membaca dan memahami al-Quran.

Ujarnya, gerakan ini bertujuan untuk memperkenalkan kembali keindahan dan kedalaman al-Quran kepada masyarakat khususnya generasi muda yang sering terjebak dengan kesibukan dan gangguan digital.

Menurutnya, program berkenaan juga dapat menyemarakkan lagi semangat patriolitik bersempena hari kemerdekaan tahun ini yang selaras dengan pemilihan dua surah ditetapkan.

"Ia turut berperanan menyuntik semangat kepada semua individu yang menyertai dan membuatkan mereka lebih cinta akan negara," katanya yang bakal menyertai program berkenaan di Masjid Al-Ehsaniah Taman Intan Perdana.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!