Pelbagai spesies rama-rama pukau pengunjung

Shaharim menunjukkan pintu masuk ke Butterfly Wonderland.
Shaharim menunjukkan pintu masuk ke Butterfly Wonderland.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Berada di aras empat Sunflower World Hotel, Pasir Penambang di sini, amat mengujakan, bukan sahaja melihat pemandangan sekitar, malah terdapat rama-rama cantik menyambut kedatangan pengunjung.

Saat berjalan melalui jejantas udara menyambungkan bangunan hotel itu, anda pastinya terpukau melihat keindahan taman hijau sambil menyaksikan sendiri pelbagai spesies unik rama-rama.

Butterfly Wonderland yang dibuka pada Januari lalu itu memberi peluang kepada pengunjung merasai alam fantasi dengan melihat keindahan sang rama-rama berwarna-warni hinggap di bunga yang mekar.

Keindahannya nyata sukar diungkapkan dengan kata-kata, namun ia memberi pengalaman berbeza saat anda bercuti membawa keluarga tersayang.

Menurut Pengurus Besar Sunflower World Hotel, Shaharim Mokhtar, kitaran hidup serangga itu antara tarikan utama kepada pengunjung.

“Kita tahu rama-rama spesies yang unik kerana proses biologi hidupan ini yang mempunyai jangka hayat sehingga 14 hari sahaja.

“Serangga ini mengalami perubahan sepenuhnya bentuk fizikal dan lain-lain serta boleh bertelur sehingga 200 biji.

“Daripada sebiji telur kecil, lahir seekor ulat bulu yang kemudiannya menjadi kepompong sebelum kepak dan kakinya akan terbentuk hingga akhirnya membentuk rama-rama,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Butterfly Wonderland juga antara destinasi menarik bagi pengantin merakam saat manis perkahwinan mereka.
Butterfly Wonderland juga antara destinasi menarik bagi pengantin merakam saat manis perkahwinan mereka.

Shaharim memberitahu, pengunjung biasanya menghabiskan masa kira-kira sejam apabila berada di taman berkenaan.

Sepanjang tempoh itu, katanya, pengunjung diberi taklimat dan penerangan daripada kakitangan hotel tentang pembiakan rama-rama mengikut metamorfosis lengkap serangga berkenaan.

“Apa yang membanggakan pengunjung semakin teruja dan rasa ingin tahu dengan lebih mendalam selepas mendapatkan maklumat dan pengetahuan tentang kehidupan rama-rama,” ujarnya lagi.

Butterfly Wonderland ketika ini menyasarkan kira-kira 10,000 jumlah pengunjung dalam tempoh setahun selepas pembukaannya.

“Sehingga Ogos ini, seramai 5,000 pengunjung sudah melawat ke taman ini dan kita yakin dalam tempoh empat bulan lagi, jumlahnya akan bertambah.

“Saya yakin dengan usaha dan promosi berterusan, taman rama-rama yang mampu memuatkan 20 pengunjung dalam satu masa ini menjadi salah satu daya tarikan pelancong di daerah Kuala Selangor,” tambah beliau.

Lebih menarik, katanya, Butterfly Wonderland juga antara destinasi popular bagi pengantin merakam saat manis ketika mengadakan sesi penggambaran.

Lebih mengujakan apabila pasangan pengantin dapat berpeluang melepaskan sendiri rama-rama ke ruang udara.

Rama-rama hinggap di tangan antara pengalaman berbeza yang terdapat di Butterfly Wonderland.
Rama-rama hinggap di tangan antara pengalaman berbeza yang terdapat di Butterfly Wonderland.

“Kita juga mahu mendidik mereka tentang kepentingan rama-rama dalam ekosistem alam sekitar iaitu membantu pendebungaan tumbuh tumbuhan selain meningkatkan biodiversiti serta membaik pulih ekosistem alam sekitar,” jelas beliau.

Kata Shaharim lagi, pihaknya mengenakan caj masuk ke Butterfly Wonderland pada harga RM15 untuk kanak-kanak dan RM20 kepada dewasa pada hari biasa.

“Pada cuti hujung minggu dan cuti umum pula, kita mengenakan bayaran sebanyak RM20 bagi kanak-kanak serta RM25 kepada dewasa dan Butterfly Wonderland beroperasi dari jam 10 pagi hingga 6 petang,” jelas beliau.

Mengulas mengenai masa depan taman itu, Shaharim menjangkakan ia bakal menjadi muzium dan makmal penyelidikan selepas pihak pengurusan hotel menyiapkan pembinaan Sun Flower World Garden.

“Kami merancang menjalankan penyelidikan dan membiakkan habitat rama-rama di sini pada masa depan,” ujar Shaharim.

Katanya, projek yang menelan belanja ratusan ribu ringgit itu dijangka mula beroperasi pada Oktober depan dan turut menempatkan haiwan lain termasuk spesies burung dan kelulut.

“Selepas ini, semua rama-rama ini akan dipindahkan di bahagian belakang hotel menghadap Sungai Selangor.

“Keadaan fasilitinya nanti lebih lengkap dan luas, malah kami menjangkakan ia bakal menjadi taman rama-rama terbesar di negeri ini,” tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!