Lelaki cedera ditembak depan restoran di Klang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki cedera ditembak dalam kejadian di sebuah restoran dekat Lebuh Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, maklumat berkaitan kejadian sebelum itu diterima pihaknya kira-kira jam 2.55 pagi oleh seorang pengawal keselamatan yang bertugas di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2.15 pagi apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berhenti berdekatan restoran berkenaan.

"Seorang lelaki turun daripada kenderaan terbabit sebelum bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah beberapa individu yang berada di luar restoran.

"Suspek kemudian bertindak melarikan diri menggunakan kenderaan sama sejurus selepas kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, kejadian mengakibatkan seorang lelaki tempatan cedera akibat terkena tembakan.

"Mangsa yang berumur 45 tahun cedera di bahagian punggung sebelah kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang serta berada dalam keadaan stabil.

"Siasatan dijalankan di lokasi menemui lima butir kelongsong peluru, satu anak peluru, dua kesan tembakan pada kerusi dan dua kesan tembakan pada dinding restoran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan berkaitan kes dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Polis dalam usaha mengesan serta memberkas individu yang terlibat dalam kejadian ini.

"Sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!