Chelsea belasah Wolves di Molineux
CHELSEA antara pasukan pilihan mencabar kejuaraan melakar kemenangan pertama saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Wolves 6-2 di Stadium Molineux pada Ahad.
Ini merupakan kemenangan pertama The Blues asuhan Enzo Maresca selepas bermula tempang apabila dijinakkan penyandang juara Manchester City, 0-2 di Stamford Bridge pada 18 Ogos lalu.
Bagi Wolves bimbingan Gary O'Neil, ini merupakan kekalahan kedua selepas tewas 0-2 kepada Arsenal di Stadium Emirates pada 17 Ogos lalu untuk meletakkan kelab itu di kedudukan ke-19 liga.
Gol The Blues dalam perlawanan itu dijelmakan Nicolas Jackson (m-2), Cole Palmer (m-45), Noni Madueke (m-49, m-58, m-63), Joao Felix (m-80) manakala gol sagu hati Wolves disumbangkan Matheus Cunha (m-27) dan Jorgen Strand Larsen (m-51).
Dalam satu lagi aksi di Stadium Vitality, Bournemouth asuhan Andoni Iraola bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Newcastle United, kendalian Eddie Howe, 1-1.
The Magpies terlebih dulu mendahului menerusi Marcus Tavernier (m-37) sebelum Anthony Gordon menyamakan kedudukan pada minit ke-76 untuk The Cherries.
Newcastle sebelum ini membuka kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas Southampton di St Jame’s Park manakala Bournemouth pula seri 1-1 ketika berkunjung ke City Ground menentang Nottingham Forest.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!