KPKT sedia kerjasama laksana pemetaan utiliti

Kor Ming (hadapan, lima dari kiri) bersama pimpinan DAP Perak sempena Jamuan Makan Malam DAP Perak di sebuah restoran pada malam Ahad.
Kor Ming (hadapan, lima dari kiri) bersama pimpinan DAP Perak sempena Jamuan Makan Malam DAP Perak di sebuah restoran pada malam Ahad.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi melaksanakan cadangan pemetaan utiliti bawah tanah bagi menangani isu tanah jerlus.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pemetaan utiliti bawah tanah dilihat satu keperluan bagi memastikan kemudahan tidak menjejaskan keselamatan.

Menurut beliau, sehubungan itu juga, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta melihat perkara tersebut secara terperinci di kawasan pentadbiran masing-masing.

"KPKT sentiasa bersikap terbuka. Kami sudi untuk bekerjasama bukan sahaja dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), JKR (Jabatan Kerja Raya) serta pelbagai agensi yang terlibat supaya diadakan pemetaan kemudahan di bawah tanah.

"Di atas tanah kita boleh nampak, bawah tanah tak nampak tapi itu penting kerana tanpa kemudahan bawah tanah, utiliti semua tidak sampai kepada pengguna seperti air, elektrik, internet, tangki najis dan macam-macam. Semua di bawah tanah.

"Sebab itu esok (Isnin) apabila saya balik ke pejabat, saya akan bangkitkan dalam mesyuarat kementerian pada minggu ini supaya semua PBT buat semua ini," katanya kepada pemberita selepas Jamuan Makan Malam DAP Perak di sebuah restoran di sini pada malam Ahad.

Sementara itu, mengenai insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh mengenai kejadian berkenaan kerana ia di bawah bidang kuasa DBKL.

Bagaimanapun beliau memaklumkan pihaknya sudah mengerahkan segala kepakaran termasuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk membantu dalam operasi menyelamat wanita warga India yang masih hilang susulan insiden tanah jerlus itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kor Ming turut mengarahkan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin supaya melihat kembali semua kawasan berisiko berlakunya tanah jerlus khususnya di bandar raya Ipoh melibatkan projek kendalian syarikat Mangkubumi Sdn Bhd.

"Saya arahkan Datuk Bandar untuk panggil mesyuarat segera bagi memeriksa keselamatan lubang pembetung untuk pastikan kejadian sedemikian tidak akan berulang. Kita tahu bahawa mencegah itu lebih baik dari mengubati, kerajaan sentiasa prihatin.

"Saya nak pastikan ia tidak berlaku. Kita tahulah Ipoh ini dah korek banyak tahun, kita kena pastikan keselamatan jadi keutamaan kita," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!