Biawak 'ketuk' tingkap minta tolong
PUCHONG - "Mulanya ingatkan pencuri rupanya biawak yang terperangkap di celah bumbung rumah, kata pemilik sebuah rumah di taman perumahan di sini.
Penghuni rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang Ahad.
Menurutnya, kakaknya yang menunaikan solat Asar terdengar bunyi bising dari atas bumbung.
"Kakak saya beritahu ada bunyi bising dari tingkap di atas biliknya.
"Apabila melihat ke arah tingkap itu kami terkejut melihat terdapat kuku haiwan seperti biawak," katanya.
Bimbang haiwan terbabit bolos masuk ke rumahnya, Muhammad kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk meminta bantuan.
Katanya, sepasukan anggota bomba tiba di kediamannya kurang 10 minit selepas dihubungi.
"Selepas melakukan pemeriksaan memang benar terdapat biawak di atas bumbung rumah.
"Kami pun hairan bagaimana biawak itu boleh panjat sampai ke atas sana.
"Mungkin ia 'ketuk' tingkap nak minta tolong sebab dah terperangkap dan tak boleh keluar dari celah bumbung rumah," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad berterima kasih kepada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Puchong yang segera datang sebaik dihubungi.
Katanya, tanpa bantuan bomba mereka sekeluarga mungkin tidak dapat tidur lena kerana asyik memikirkan bunyi dan kuku misteri di tingkap.
"Terima kasih banyak-banyak kepada semua anggota bomba yang membantu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!