Takluk: Lahad Datu berjaya ubah persepsi tentang filem Melayu

Antara babak menarik dalam filem Takluk: Lahad Datu.
Antara babak menarik dalam filem Takluk: Lahad Datu.
A
A
A

MINGGU lepas Merak Jalanan telah diundang seorang sahabat yang merupakan pelakon dan hos popular ke tayangan awal filem terbaharunya berjudul Takluk: Lahad Datu.

Filem Takluk: Lahad Datu diinspirasikan daripada tragedi yang berlaku pada 11 Februari 2013 mengaitkan krisis diplomatik antara Malaysia dan Filipina selepas 235 pengganas negara itu mendarat di Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah.

Rentetan itu berlaku pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengganas berkenaan sehingga mengorbankan ramai perwira negara.

Pada awalnya, dalam kepala terfikir, filem arahan Zulkarnain Azhar ini mungkin sama seperti filem perang Malaysia lain yang jalan ceritanya longgar, pelakon kurang penghayatan dan kualitinya biasa-biasa sahaja.

Rupa-rupanya tekaan Merak Jalanan tersasar sama sekali! Untuk pertama kali dalam sejarah filem aksi perang tempatan yang pernah Merak Jalanan tonton (selepas Bukit Kepong), akhirnya lahir sebuah karya yang mengesankan dan menggetarkan jiwa sebagai anak Malaysia.

Walaupun kebanyakan babak diubah suai, namun disebabkan mereka beraksi di lokasi sebenar, terutama adegan perang di dalam ladang kelapa sawit dan kampung air telah memberi suntikan adrenalin luar biasa kepada semua pelakon sehingga semuanya nampak seperti benar-benar berlaku.

Tahniah kepada semua pelakon hebat filem ini termasuk Syafiq Kyle, Kamal Adli, Fikry Ibrahim, Anding Indrawani, Eman Manan dan ramai lagi kerana memainkan peranan mereka dengan baik sehingga sukar mencari kecacatan naskhah ini.

Artikel Berkaitan:

Sempena bulan kemerdekaan, ayuh kita beri sokongan kepada filem tempatan yang boleh Merak Jalanan katakan telah berada pada kelasnya yang tersendiri.

Siapa yang selalu cakap ‘saya tak suka filem Melayu’ mungkin akan berubah pandangan selepas menonton Takluk: Lahad Datu ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!