Korban nyawa demi orang ramai

Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

MUKADIMAH

Tiada siapa boleh menafikan bahawa tugas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang turut digelar sebagai ‘celoreng merah’ amat mencabar.

Sebagai barisan hadapan, mereka ini dekat di hati masyarakat kerana terlibat dengan kerja-kerja menyelamat orang ramai dan harta benda sehingga ada yang secara mesra memanggilnya sebagai ‘abang bomba’.

Namun, mungkin tidak ramai tahu, di sebalik keberanian, mereka sebenarnya terdedah kepada kerja berbahaya dan jika tersilap langkah, akan mengakibatkan nyawa melayang.

Wartawan FARHANA ABD KADIR mengimbas kembali anggota yang terkorban ketika bertugas termasuk dalam operasi menyelamat sebagai mengenang kembali jasa-jasa mereka terhadap negara.

REKOD rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menyenaraikan seramai 25 anggota mereka di seluruh negara terkorban ketika bertugas sejak tahun 1984.

Kes pertama ialah pada 1 Januari 1984 melibatkan anggota, Mohd Adzaman Hassan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Kelantan.

Beliau meninggal dunia akibat sesak nafas semasa melakukan operasi pemadaman kebakaran rumah kedai.

Artikel Berkaitan:

Empat tahun kemudian, anggota dari BBP Sibu Sarawak, Lim Peng Seng terkorban ketika melakukan kerja penyiasatan di tempat kebakaran.

Pada 1999, dua kematian dicatat melibatkan anggota bomba BBP Marudi Sarawak, Tawit Tiun sewaktu menjalani latihan kawad operasi di balai dan Abdul Syukur Abdullah dari BBP Nibong Tebal Pulau Pinang yang meninggal dunia akibat sesak nafas ketika mengambil mangsa di dalam pembetung.

Bagi tahun 2000, empat anggota kehilangan nyawa dengan masing-masing dua dari JBPM Pulau Pinang dan Perak.

Nordin Othman (BBP Bukit Mertajam) dan Madzlan Mad Isa (BBP Lebuh Pantai) meninggal dunia apabila mengalami sesak nafas dalam operasi kebakaran rumah kedai.

Sementara Idris Ahmad (BBP Manjung) maut dalam operasi menyelam bagi pembersihan Pulau Sembilan, Perak sebelum insiden itu meragut pula nyawa Mohd Noor Harun (BBP Lenggong) lima hari kemudian ketika operasi mencari anggota berkenaan.

Selang enam tahun kemudian, dua lagi kematian direkodkan melibatkan anggota dari BBP Sibu Sarawak, Abdul Rahman Haidir dan Sarsi Ibrahim yang menemui ajal dalam operasi menyelamat di Kapit.

Pada 19 Jun 2009, anggota dari BBP Terengganu, Aladi Hassan menemui ajal sewaktu operasi menyelam SAR di Tasik Kenyir, Terengganu.

Seorang anggota BBP Raub Pahang, Mohd Noor Ismail pula maut akibat terkena gigitan lebah sewaktu operasi penghapusan serangga penyengat itu pada 27 Julai 2010.

Kematian berikut membabitkan anggota BBP Sungai Pinang Selangor, Dorman Kasbon pada 4 Mac 2014 akibat sesak nafas semasa operasi pemadaman kebakaran di kawasan belukar.

Pada 21 Jun tahun sama, kemalangan tragik menimpa anggota BBP Pekan Nanas Johor, Mohamad Taufik Ali yang menemui ajal selepas dilanggar lori muatan batu ketika sedang mengemas peralatan operasi pemadaman api lalang.

JBPM kehilangan seorang lagi anggota, Yusof Ngah (BBP Indera Mahkota Pahang) akibat terkena gigitan lebah pada 29 Mei 2015, manakala berikutnya pada 20 Julai, Apolos Jeremos (BBP Sandakan Sabah) maut kerana terkena renjatan elektrik sewaktu operasi pemadaman kebakaran.

2018 TAHUN TRAGIK BUAT SELURUH PASUKAN BOMBA

Tahun 2018 disifatkan tahun tragik buat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) apabila menyaksikan kematian terbanyak melibatkan enam anggota serentak ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR).

No Image Caption

Pada 3 Oktober 2018, enam anggota bomba menjalankan SAR seorang remaja yang dilaporkan tergelincir ketika memancing di lombong di Taman Putra Perdana Puchong, Selangor.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) itu lemas apabila terbelit tali yang dipasang di antara satu sama lain kerana arus deras datang secara tiba-tiba berikutan hujan lebat dan dipercayai menjadi punca peralatan menyelam dipakai mereka tertanggal.

Lima anggota dari BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, Izatul Akma Wan Ibrahim, Mazlan Omarbaki, Yahya Ali, Adnan Othman dan seorang anggota BBP Shah Alam, Muhamad Hafidzul Malik Shaari disahkan meninggal dunia.

Pada 27 November 2018 pula, satu lagi peristiwa menggemparkan negara apabila berlaku kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield dekat Subang Jaya, Selangor meragut nyawa seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Muhammad Adib Mohd Kassim yang bertugas di BBP Subang Jaya.

Tahun 2018 juga menyaksikan seorang pakar jinak ular, Abu Zarin Hussin dari BBP Bukit Angin Pahang terkorban akibat dipatuk ular tedung dalam satu operasi di Bentong pada 15 Mac 2018.

Sementara itu, pada 21 Oktober 2021, JBPM kehilangan seorang anggota, Mohd Diya Che Jusoh selepas beberapa jam kritikal akibat lemas dalam air banjir berarus deras di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh.

Setakat ini, kes terbaharu kehilangan nyawa anggota bomba ketika SAR ialah pada 1 Disember 2021 akibat satu letupan berlaku semasa operasi pemadaman kebakaran kilang memproses habuk kayu.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Mohd Firdaus Sulaiman dari BBP Segamat yang berada di tingkat tiga bangunan kilang tercampak kira-kira 10 meter ke tingkat bawah.

Anggota JBPM bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) ketika operasi membawa keluar 21 mangsa yang terkandas di Tapak Perkemahan Eco Risda, Kampung Ulu Slim dalam insiden kepala air di Slim River pada Sabtu.
Anggota JBPM bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) ketika operasi membawa keluar 21 mangsa yang terkandas di Tapak Perkemahan Eco Risda, Kampung Ulu Slim dalam insiden kepala air di Slim River pada Sabtu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!