Tak halang anak jadi anggota bomba
SHAH ALAM - Isteri kepada anggota bomba yang meninggal dunia terkena letupan ketika operasi pemadaman kebakaran sebuah kilang tiga tahun lalu, tidak akan menghalang sekiranya anaknya berminat menyertai kerjaya itu.
Nurul Jannah Abd Hamid Khan, 32, berkata, dia sendiri sentiasa menggalakkan dan memberi pendedahan kepada anak perempuan mereka, Aisy Alisha Mohd Firdaus yang berusia enam tahun.
“Selepas kematian suami, saya akui berada di fasa yang sedikit teruk tetapi saya sudah berjanji dengan dia (suami) untuk terus menjaga anak kami dengan baik.
“Sebelum ini arwah suami banyak mengajar saya supaya lebih berdikari sendiri. Itu menjadikan saya ibu yang kuat untuk uruskan keluarga.
“Jika satu hari nanti anak saya mahu menjadi anggota bomba, saya tidak akan halang, malah beri galakan supaya dia boleh bawa semangat ayahnya untuk terus bantu masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada 13 Disember 2021, Mohd Firdaus yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di Hospital Segamat.
Terdahulu, semasa operasi pemadaman kebakaran sebuah kilang memproses habuk kayu, berlaku satu letupan menyebabkan Mohd Firdaus yang berada di tingkat tiga bangunan tercampak ke tingkat bawah.
Seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang berkenaan, Mohamad Azuraini Mahrani turut cedera parah manakala seorang lagi pegawai bomba, Syed Putra Syed Mohd Al Atas melecur.
Bercerita lanjut, Nurul Jannah berkata, suaminya yang berkhidmat sejak 2013 sangat mencintai kerjaya tersebut dan sentiasa mendahulukan keperluan orang awam berbanding keluarga.
Beliau yang merupakan penjawat awam tidak pernah berkecil hati dengan pendirian suami malah mengambil sikap terbuka kerana memahami tanggungjawab seorang anggota bomba.
“Sebelum pemergian Allahyarham, suami selalu ingatkan saya bahawa dia ialah milik orang awam. Di rumah sahaja dia hak saya.
“Saya tak pernah mempersoalkan ketentuan takdir dan terima dengan hati yang terbuka. ALLAH dah tetapkan jalan kepada dia untuk pergi dengan cara macam ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!