Warga emas mulakan kayuhan Patriotik kali ke-7

Kayuhan akak bermula 27 Ogos ini dari Gombak, Selangor dan dijangka berakhir pada 12 September di Sungai Buloh, sejauh 1,103 kilometer (km).
Kayuhan akak bermula 27 Ogos ini dari Gombak, Selangor dan dijangka berakhir pada 12 September di Sungai Buloh, sejauh 1,103 kilometer (km).
A
A
A

SHAH ALAM - Sudah menjadi tradisi sejak 2018, apabila tiba bulan kebangsaan, penggiat sosial, Ishak Mohamad, 62, akan melakukan Kembara dan Kayuhan Merdeka jelajah semenanjung Malaysia termasuk Thailand dan Singapura.

Tidak terkecuali tahun ini, beliau yang juga berkhidmat sebagai pegawai khas akan memulakan kayuhan itu pada 27 Ogos ini dari Gombak, Selangor dan dijangka berakhir pada 12 September di Sungai Buloh, sejauh 1,103 kilometer (km).

"Dari Gombak ke Gua Musang, saya akan ke Kuala Krai, Tanah Merah dan memasuki Kalumo Nues, Narathiwat dan Kerisik sebelum ke Songkhla. Kemudian, pada malam 6 September, saya akan berada di Kangar, seterusnya ke Pokok Sena, Baling, Kulim, Bagan Serai serta Sitiawan. Seterusnya, ke Hutan Melintang dan Sungai Bernam sebelum Sungai Buloh.

"Dari Gombak hingga ke Padang Besar saya kayuh berdua bersama rakan, bekas jurufoto, Zakaria Idris, 59, kemudian saya alan bergerak solo sehingga sampai destinasi terakhir," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambah datuk kepada dua cucu itu, Kayuhan Merdeka 2024 merupakan program menjelajah tanah air dengan berbasikal bagi menyemarak semangat merdeka rakyat.

Zakaria (kiri) dan Ishak.
Zakaria (kiri) dan Ishak.

Ujarnya, menyambutnya dengan pelbagai cara adalah tanda penghargaan terhadap perjuangan masa lalu bagi menyuntik semangat dan menzahirkan kecintaan kepada negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya bermula dengan kembara motosikal seluruh semenanjung pada 3 Januari 2018, kemudian Kembara Jalan Penarikan, Negeri Sembilan dan Kerajaan Melayu Beruas, Perak pada 3 Februari 2019, Kayuhan Rentas Banjaran Titiwangsa pada 3 Mac 2020, Kembara bertemakan buku pada 3 April 2021, Kayuhan Rentas Semenanjung, Selatan Thai dan Singapura pada 3 Mei 2022 serta Kayuhan Utara Pattani pada 3 Jun 2023.

"Kayuhan Merdeka ini menzahirkan tanda ingatan yang mendalam terhadap perjuangan memerdekakan tanah air bukan sekadar dengan mengibarkan bendera dan laungan merdeka pada Ogos, insya-ALLAH ia dijelmakan dalam bentuk taat setia sepanjang masa.

"Jika ada peluang sepanjang kayuhan tersebut, saya akan mengambil sedikit masa untuk menyampaikan mesej bagi membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat," katanya.

Ditanya tentang semangatnya untuk berkayuh pada usia emas, Ishak berkata, kegiatan itu sudah menjadi kebiasaan buatnya sebagai satu cara menghargai perwira negara terdahulu yang sanggup berkorban demi negara.

Tegasnya, tugas sebagai warganegara adalah sangat mudah dalam mengisi kemerdekaan dengan hanya perlu menjaga tanah air ini di mana ia harapan dan doa para pejuang negara dahulu rela berjuang dan berkorban nyawa.

Dua cucu Ishak, Muhammad Rayyan Mohamad Zaid, 8, dan Ima Wan Nur Mohd Zaid turut memberi sokongan buat datuknya.
Dua cucu Ishak, Muhammad Rayyan Mohamad Zaid, 8, dan Ima Wan Nur Mohd Zaid turut memberi sokongan buat datuknya.

"Negara ini dapat dipelihara dengan baik apabila setiap individu berintegriti, bukan sahaja pemimpin.

"Rakyat juga perlu ikhlas tidak mengamalkan budaya rasuah dan salah guna kuasa. Kerana ini adalah satu pengkhianatan yang sangat besar kepada perjuangan memerdekakan negara.

"Jadi, kita perlu membentuk budaya nilai yang baik, memperlihatkan sikap patriotism khasnya kepada generasi muda supaya boleh diingati dan dicontohi sehingga seseorang akan berasa malu jika melakukan sesuatu yang boleh mencemarkan atau menghakis kekuatan negara.

"Inilah cerita yang akan saya kongsikan dengan anak-anak bangsa kita sepanjang kayuhan kali ini supaya mereka beroleh teladan," kongsinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!