Pasca PAU 2024: Hala tuju UMNO belum jelas - Penganalisis

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebak selepas selesai sesi ucapan pengulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu. Foto Bernama
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebak selepas selesai sesi ucapan pengulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pasca PAU 2024 masih belum menjelaskan hala tuju parti itu selepas ini kerana hanya tertumpu kepada isu dalaman termasuk masih dibayangi dengan bekas pemimpin utamanya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penganalisis Politik Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Muqit Muhammad berkata, desakan perwakilan UMNO untuk pengampunan penuh Najib merupakan satu usul yang terkebelakang.

Menurutnya, hala tuju UMNO akan dilihat kabur sekiranya masih tidak keluar daripada bayangan Najib.

“Hala tuju UMNO ketika ini pada saya belum jelas. Perbincangan dalam PAU masih banyak berkisarkan perbincangan isu ‘dalaman keluarga’ berbanding isu-isu rakyat.

“Bukannya tidak ada langsung, tetapi tumpuannya masih kepada isu dalaman. Perwakilan yang desak pengampunan penuh Najib tidak memahami isu penolakan rakyat terhadap Najib,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai hasrat UMNO untuk kembali dominan, beliau berkata, pemimpin parti itu perlu lebih realistik.

“Tidak boleh lagi mengimbau era kegemilangan hegemoni UMNO dulu.

“UMNO hanyalah parti komponen sahaja yang membentuk Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menyifatkan tumpuan diberikan sayap Pemuda dan Puteri UMNO pada PAU 2024 juga tidak menunjukkan impak ketara bagi membantu hala tuju sebenar parti itu.

“Pemuda dan Puteri masih tidak memiliki formula untuk menarik sokongan anak muda Melayu kepada mereka.

“Dalam banyak-banyak ucapan yang saya ikuti, hanya ucapan Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) yang dilihat berpijak di bumi yang nyata. Tahu kedudukan UMNO sekarang dalam kalangan orang Melayu,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!