Durian 'naga umbang' berusia lebih 100 tahun
LIPIS - Penyertaan kali pertama 'naga umbang' membawa tuah buat seorang pemilik dusun, Muhammad Rahimi Zainal Abidin, 26, untuk meraih tempat kedua dalam Pertandingan Durian Kampung Premium sempena Hari Durian Peringkat Daerah Lipis 2024.
Antara keistimewaan naga umbang ialah bentuk buah dan duri seakan durian udang merah dengan berat satu hingga 2.5 kilogram (kg) selain rasanya manis melekit, lemak, pahit sederhana serta warna kekuningan.
Muhammad Rahimi dari Kampung Kuala Serau di sini membawa pulang hadiah wang tunai RM200 yang disampaikan Pengarah Pertanian Pahang, Muhd Rizal Baharom di pekarangan pejabat pertanian daerah itu baru-baru ini.
Ketika ditemui, dia memberitahu, pokok asal durian itu kini sudah berusia kira-kira 100 tahun yang ditanam oleh beberapa generasi keluarganya sebelum ini.
"Kalau ditanya orang tua dulu, ia durian tembaga dan diberikan nama baharu dari lokasi ia ditanam dan setakat ini selain pokok asal, sudah ada lima pokok baharu.
"Setiap tahun memang ada yang bertanya dan sudah ada pelanggan tetap yang bukan sahaja dari kampung malah sekitarnya seperti Tersang, Raub malah ada dari Kuala Lumpur," katanya dia menjual dengan harga hingga RM6 sekilogram.
Ujarnya, tiada harapan tinggi diletakkan ketika menyertai pertandingan tersebut.
"Saya sendiri sudah rancang mahu balik masa nama-nama pemenang hendak diumumkan dan tidak sangka muncul naib juara.
"Jika ditanya perancangan selepas ini, memang saya bercadang hendak untuk ambil tunas sebagai cantuman pokok-pokok kecil," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!