Kembalikan hukuman mati mandatori
NAMA Mona Fendy pernah menggemparkan negara dengan kes pembunuhan paling kejam dan sadis yang dilakukan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Allahyarham Datuk Mohd Mazlan Idris, pada tahun 1993.
Mangsa yang dilaporkan hilang selama dua minggu telah dibunuh dan dikerat 18 sebelum mayatnya ditanam dalam lubang sedalam 1.8 meter di sebuah rumah tidak bernombor.
31 tahun berlalu, negara kembali dikejutkan dengan kes pembunuhan kejam yang semakin menjadi-jadi.
Pada 14 Disember lalu, ibu tunggal dua anak, Mila Sharmila Samsusah, 32, atau lebih dikenali sebagai Bella yang dilaporkan hilang berakhir dengan tragedi pembunuhan.
Selepas 38 hari hilang, polis akhirnya berjaya mengesan rangka manusia tidak sempurna milik Bella di sebuah rumah terbiar dan teman lelakinya didakwa atas pembunuhan tersebut.
Nasib seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, atau dikenali sebagai Cikgu Istiqomah yang dilaporkan hilang pada 27 Disember lalu juga amat menyayat hati.
Selepas lapan bulan, mayat wanita dibunuh kejam dengan kepala, kedua-dua tangan dan kaki dipotong sebelum disumbat ke dalam tong sampah dan dibuang di longkang pada 31 Disember lalu disahkan miliknya.
Terbaharu, negara digemparkan pula dengan kes bunuh libatkan lelaki warga Rohingya yang mengelar leher dan membuang mayat isteri serta dua anaknya dalam longkang.
Timbul persoalan apakah masyarakat hari ini sudah hilang nilai kemanusiaan, mudah hilang pertimbangan sehingga nyawa tiada lagi harga?
Tidak kira sama ada melibatkan keluarga, kenalan, mahupun orang asing, kes pembunuhan tragis seperti ini tidak harus dipandang ringan.
Apa pun alasan mereka, kita tidak boleh menerima perbuatan kejam seperti ini.
Mereka harus diberikan pengajaran yang sewajarnya melalui hukuman yang setimpal di sisi undang-undang.
Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa “barang siapa melakukan kesalahan membunuh orang hendaklah diseksa dengan bunuh.”
Di Malaysia, pelaksanaan hukuman bunuh dibuat dengan menggantung pesalah sehingga mati.
Jika dulu, hampir kesemua pembunuh ini nasibnya akan berakhir di tali gantung, namun kini situasinya berbeza.
Ramai pembunuh-pembunuh ini terlepas hukuman gantung dan digantikan dengan hukuman penjara sahaja.
Ini kerana tiada lagi hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat di Malaysia susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) pada tahun lalu.
Kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Mengambil contoh kes rogol dan pembunuhan kejam ke atas jururawat, Yashmin Fauzi pada 2015 lalu, suspek Mohammad Awari terlepas hukuman gantung apabila hukumannya digantikan kepada penjara 40 tahun baru-baru ini.
Begitu juga dengan kes bunuh wanita warga emas berusia 75 tahun, tertuduh Zulkiple Mohamad, menggunakan kayu besbol sebelum merogolnya, terlepas hukuman gantung sampai mati.
Berapa ramai lagi pembunuh-pembunuh di luar sana akan terlepas dan seolah-olah perbuatan kejam mereka itu ‘dimaafkan’?
Jika pembunuh-pembunuh tersebut terselamat daripada hukuman gantung, bagaimana kita mahu mencegah jenayah dan menjauhkan orang lain daripada membuat jenayah?
Maka hukuman mati mandatori ke atas pembunuh-pembunuh ini harus dikembalikan.
Sesungguhnya, pembunuhan dalam Islam adalah jenayah yang besar. Perkara itu dijelaskan ALLAH SWT dalam al-Quran yang maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan ALLAH (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar.” (Surah al-An’am, ayat 151).
Islam menetapkan hukuman qisas bagi membendung pembunuhan manusia yang tidak berdosa. Hukuman itu diperuntukkan bagi menegakkan keadilan dan mengurangkan bebanan kesedihan ditanggung keluarga mangsa.
Selain itu, hukuman qisas juga adalah satu hukuman yang dapat menundukkan hati dan nafsu manusia serta menerbitkan perasaan takut dalam diri untuk membunuh insan lain yang tidak berdosa.
Dengan adanya pelaksanaan hukum itu, kejadian pembunuhan dapat dibendung.
* Arney Syema Anua ialah Editor Pengisian Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!