Tanah jerlus: Kekal tenang, usah cetus panik orang awam

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KEBELAKANGAN ini heboh di media sosial mengenai pelancong warganegara India, Vijayaletchumy, 48, terjatuh ke dalam lubang mendap yang muncul secara tiba-tiba di ibu kota Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Kejadian menyayat hati di Jalan Masjid India itu berlaku tanpa diduga ketika orang ramai mahu memulakan hari baharu iaitu sekitar jam 8.25 pagi.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dapat dilihat bahawa wanita terbabit jatuh ke dalam lubang lapan meter dipercayai terhasil daripada tanah mendap akibat hujan lebat dan keadaan geologi.

Insiden sedemikian berlaku apabila air berkumpul di bawah permukaan akibat paip bocor atau saliran yang lemah, sebelum menghakis lapisan tanah sehingga runtuh.

Bagaimanapun, baru-baru ini terdapat satu hantaran dimuatnaik seorang pengguna Facebook yang menceritakan hakikat sebenar struktur tanah di Kuala Lumpur pada 2015 lampau dan ia kembali menjadi perdebatan masyarakat.

Menerusi hantaran terbabit, lokasi yang paling tidak selamat untuk didiami penduduk ialah Kuala Lumpur.

Hal ini kerana dakwanya, bandar raya berkenaan berpotensi mengalami lubang mendap mega atau ‘Giant Sinkhole’ disebabkan 40 hingga 60 peratus kawasan Kuala Lumpur didasari batu kapur.

Katanya lagi, pembangunan tanpa henti dan sistem saliran yang tidak teratur akan menyebabkan berlakunya mendapan atau tanah jerlus kerana tidak mampu menahan bebanan pada permukaan.

Artikel Berkaitan:

Terbaharu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif mengatakan bahawa tiada bukti kukuh yang boleh menyokong dakwaan bandar raya itu tidak selamat untuk diduduki.

Maimunah berkata, Kuala Lumpur telah lama dibangunkan dan dakwaan bahawa ia tidak selamat untuk pembangunan perlu disertakan dengan bukti atau kajian yang kukuh.

Apa pun, sambil pasukan bomba dan penyelamat membanting tulang mencari mangsa selama empat hari ini, sebaiknya kerajaan memberikan tumpuan kepada kajian bersama petugas Jabatan Geologi serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyiasat insiden berkenaan.

Namun, tiada salahnya jika kerajaan mengambil kira saranan atau pandangan orang awam untuk membangunkan pasukan penilaian risiko yang lebih padu.

Rakyat juga diingatkan supaya kekal tenang dan usah mencetuskan panik dalam kalangan orang awam kerana ia tidak membantu menyelesaikan masalah, sebaliknya menambah kekusutan.

Semoga mangsa ditemui dengan kadar segera kerana meskipun bukan warga tempatan, doa yang baik-baik daripada rakyat Malaysia sentiasa mengiringi dan tidak putus-putus menantikan perkembangan terbaharu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!