Tiba masa pegawai imigresen pakai kamera badan
PENAHANAN lima pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana salah laku rasuah baru-baru ini bukan sesuatu yang mengejutkan.
Ia juga secara tidak langsung memberi jawapan kepada persoalan mengapa berlaku lambakan warga asing di Malaysia terutama dari negara China dan India sejak sekian lama.
Dek kerana mengejar habuan serendah RM500 hingga setinggi RM2,500 untuk hidup mewah, sanggup pegawai penguat kuasa terlibat memejamkan mata dan ‘membakulsampahkan’ nilai-nilai murni juga ikrar integriti yang telah diterapkan dalam diri sejak sekian lama.
Perbuatan mereka yang boleh diumpamakan seperti tali barut bukan sahaja mengancam keselamatan malah merobek hati rakyat Malaysia yang telah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada semua anggota penjaga pintu masuk utama negara itu.
Rentetan kejadian ini, setelah sekian lama tertangguh, sudah tiba masa penggunaan kamera badan dilaksanakan di Jabatan Imigresen kerana ia satu-satunya kaedah terbaik memastikan ketelusan penguat kuasa dalam menjalankan tugas.
Alat itu juga boleh dijadikan sebagai bahan bukti di mahkamah jika berlaku sesuatu kes, malah yang penting ia mampu meningkatkan keyakinan penguat kuasa itu sendiri untuk menjalankan tugas mereka dengan lebih profesional.
Walaupun buat masa ini hanya pasukan Polis Diraja Malaysia yang bakal dibekalkan kamera badan, namun Kementerian Dalam Negeri sudah boleh merancang untuk memperluaskan penggunaannya kepada semua penguat kuasa.
Cadangan ini turut dipersetujui oleh Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) yang tidak mahu berkompromi dengan isu keselamatan negara dan integriti institusi imigresen.
Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi juga memberi pandangan serupa selain mencadangkan pertukaran syif pegawai pada setiap tiga atau enam bulan.
Walaupun anggota terlibat telah berjaya ditangkap dan hal ini pasti akan senyap seketika, namun perlu diingat, nafsu menguasai akal dan hati manusia tidak kira masa.
Selagi ada kemahuan untuk hidup mewah dan memperoleh wang secara mudah, salah laku dalam kalangan penguat kuasa pasti berulang, kali ini mungkin dengan modus operandi yang lebih dahsyat lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!