Kilang e-waste Segamat: JKDM akan bekerjasama dengan agensi terlibat

Susulan pendedahan Sinar Harian, tindakan tegas telah diambil JAS ke atas kilang e-waste di Segamat, Johor. Gambar kecil: Anis Rizana
Susulan pendedahan Sinar Harian, tindakan tegas telah diambil JAS ke atas kilang e-waste di Segamat, Johor. Gambar kecil: Anis Rizana
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan bekerjasama dengan mana-mana agensi penguat kuasa berhubung kes pengoperasian kilang proses sampah elektronik (e-waste) di Segamat, Johor.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan daripada mana-mana agensi penguat kuasa berkaitan kilang e-waste di Segamat.

Bagaimanapun katanya, JKDM telah bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menghalang pengimportan kontena mengandungi e-waste ke dalam negara.

"Kes di Segamat telah disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan kesalahan yang telah dilakukan oleh pihak-pihak terbabit.

"JKDM akan bekerjasama dengan PDRM atau mana-mana agensi untuk membantu siasatan selain tindakan kita di pintu masuk dengan menahan, memeriksa dan memastikan semua kontena e-waste dihantar pulang secara eksport melalui pelabuhan yang sama ke negara asal," katanya kepada Sinar Harian.

Anis berkata, pada Jun lalu, JKDM telah menahan 301 buah kontena yang disyaki mengandungi e-waste.

Menurutnya, sehubungan itu, satu tindakan penahanan dan pemeriksaan bersepadu telah dilaksanakan oleh agensi-agensi yang berkaitan.

"Hasil pemeriksaan mengesyaki bahawa 106 daripada kontena tersebut mengandungi e-waste dan selebihnya mengandungi skrap logam. Kerjasama ini masih berlangsung dan sehingga Ogos ini, kita telah tahan 362 kontena dan 155 kontena telah disiasat oleh JAS," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kes babit kontena dagangan e-waste ini disiasat oleh JAS mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"JKDM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk agensi di luar negara untuk menghalang sebarang jenis penyeludupan termasuk pengimportan e-waste," katanya.

6 Ogos lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan aktiviti kilang haram di Segamat, Johor yang dipercayai beroperasi melerai, memproses dan melebur sisa e-waste diseludup.

Susulan pendedahan itu, Sinar Harian pada 14 Ogos melaporkan penguatkuasaan JAS yang mengambil tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) ke atas lima kilang e-waste bagi menghentikan pencemaran.

Selain itu, Majlis Perbandaran Segamat turut mengambil tindakan notis dan kompaun ke atas kilang e-waste di lokasi berkenaan.

Ia turut disusuli tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Johor dengan tangkapan seramai 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di beberapa kilang e-waste terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!