Teknik 'flushing', mangsa belum ditemui - DBKL

Maimunah ketika menerangkan berkaitan teknik 'flushing' dalam sidang akhbar pada petang Ahad.
Maimunah ketika menerangkan berkaitan teknik 'flushing' dalam sidang akhbar pada petang Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak dua kali teknik 'flushing' dilaksanakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India yang terjatuh akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India dekat sini pada Ahad.

Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, setakat ini mangsa masih belum ditemui.

"Pada sebelah malam Ahad, pihak Indah Water Konsortium (IWK) telah memulakan 'flushing' yang dilaksanakan di lurang kumbahan lima dan mengambil masa sehingga jam 2 pagi Isnin.

"Pencarian oleh pasukan SAR akan disambung pada pagi ini," katanya.

Pada Ahad, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, berkata teknik 'flushing' adalah menyekat aliran air di lurang kumbahan dan setelah air melimpah, sekatan akan dilepas untuk menghasilkan arus aliran air yang deras.

Beliau berkata, teknik itu akan dikoordinasikan oleh pihak IWK bermula di lurang kumbahan lima berhampiran Agrobank.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan kejadian seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Laporan kejadian itu diterima JBPM Kuala Lumpur pada jam 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!