Lapan premis terbakar dalam kebakaran berasingan
KUANTAN - Lapan premis termasuk bengkel kenderaan, kedai makan dan rumah kediaman terlibat dalam dua kejadian kebakaran yang dilaporkan di daerah ini pada awal pagi Isnin.
Turut terbakar dua buah kenderaan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua kejadian terbabit.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian pertama dilaporkan pada jam 1.58 pagi melibatkan kebakaran empat bengkel kenderaan, kedai makan dan tempat sembahyang di belakang sebuah stesen minyak di Jalan Teluk Sisek dekat sini.
Menurutnya, seramai 20 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Indera Mahkotab dan Taman Tas ke lokasi untuk operasi pemadaman.
"Selain membantu memadam kebakaran, anggota bomba turut melakukan kerja-kerja penyejukan bagi mengelak api merebak.
"Kebakaran berjaya dikawal jam 4.14 pagi bagaimanapun semua premis terlibat musnah sepenuhnya.
"Dalam kebakaran itu, dua kenderaan jenis Perodua Kenari dan Nissan Vannette turut terbakar dengan anggaran kemusnahan 50 peratus," katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, tiga buah rumah teres dilaporkan terbakar dalam kejadian di Lorong Air Putih 47, Taman Gaya dekat sini pada awal pagi Isnin.
Zulfadli berkata, kejadian dilaporkan jam 6.15 pagi sebelum sepasukan anggota bersama jentera dari BBP Kuantan dan Indera Mahkota ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran terbabit.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal kira-kira 40 minit kemudian dengan peratusan kebakaran rumah pertama dianggarkan 80 peratus manakala dua lagi kira-kira 10 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!