Ringgit dibuka kukuh pada 4.35 berbanding dolar AS
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan naik 205 peratusan dalam mata (pip) kepada 4.3515/3700 berbanding dolar AS daripada 4.3720/3775 pada Jumaat lepas. - Gambar hiasan
A
A
A
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan naik 205 peratusan dalam mata (pip) kepada 4.3515/3700 berbanding dolar AS daripada 4.3720/3775 pada Jumaat lepas.
Paras tertinggi ringgit yang ditutup sebelum ini ialah 4.3520/3570, dicatatkan pada 29 April 2022.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell pada Simposium Jackson Hole pada Jumaat lepas menunjukkan perubahan dasar daripada mengekang risiko inflasi yang lebih tinggi kepada mengelak pengurangan dalam kadar pertumbuhan pasaran buruh.
"Powell amat jelas dalam ucapannya, menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk dasar itu diselaraskan.
"Sehubungan itu, hampir pasti bahawa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 17 hingga 18 September akan menyaksikan Fed memulakan pelonggaran dasar monetarinya,” katanya kepada Bernama.
Oleh itu, Mohd Afzanizam berkata, ringgit dijangka terus meningkat berbanding dolar AS dan mungkin bergerak ke arah paras sokongan segera pada RM4.3000 hari ini.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.0231/0362 daripada 2.9914/9956 pada Jumaat lepas, merosot berbanding euro kepada 4.8689/8896 daripada 4.8604/8665 sebelum ini dan susut berbanding pound kepada 5.7501/7745 daripada 5.7391/7463 sebelum ini.
Sebaliknya, prestasi ringgit bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 280.8/282.2 daripada 282.1/282.7 pada Jumaat lepas dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.75 daripada 7.75/7.76 sebelum ini.
Bagaimanapun, mata wang tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3447/3595 daripada 3.3410/3454 pada Jumaat lepas dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.8106/8734 daripada 12.7575/7810.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!