Yayasan AIDS Malaysia terima dana sumbangan PERKESO, MAIWP
SHAH ALAM - Yayasan AIDS Malaysia (MAF) menerima sumbangan berjumlah RM306,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan RM250,000 oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi program Skim Bantuan Perubatan HIV.
Pengerusi MAF, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, sumbangan dana itu bakal memanfaatkan 55 pesakit HIV peringkat kedua agar golongan berkenaan mendapat akses kepada rawatan, penjagaan dan sokongan menyeluruh bagi menjalani kehidupan lebih baik.
Menurutmya, kos rawatan peringkat kedua kebiasaannya perlu ditanggung oleh pesakit sendiri manakala subsidi untuk kos perubatan peringkat pertama dibiayai kerajaan.
"Oleh itu, dana-dana korporat ini akan digunakan untuk membantu membiayai kos rawatan perubatan bagi mereka yang kurang bernasib baik.
"Usaha untuk mengakhiri AIDS memerlukan sokongan pelbagai pihak berkepentingan kerana ia isu masyarakat. Oleh itu, MAF amat menghargai bantuan daripada dua organisasi besar seperti PERKESO dan MAIWP.
"Kerjasama ini menunjukkan komitmen padu dalam menangani isu HIV. Ia langkah signifikan dalam usaha menghentikan penyebaran HIV dan mengakhiri epidemik AIDS di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Majlis penyerahan replika cek sumbangan anjuran MAF dihadiri Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan PERKESO, Dr Azlan Darus; Pengurus Bahagian Pengagihan Zakat MAIWP, Talmizi Yahaya serta Pengarah Eksekutif MAF, Jasmin Jalil.
Turut hadir, rakan-rakan Red Ribbon Celebrity, wakil Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, anggota pelaksana MAF serta benefisiari dari Rumah Solehah.
Kerjasama antara MAF dan PERKESO yang terjalin lebih dari tiga tahun menunjukkan komitmen bersama dalam usaha mengekang wabak HIV melalui bantuan perubatan.
PERKESO memberikan peluang kepada orang yang hidup dengan HIV dan terbeban dengan kos rawatan peringkat kedua untuk mendapatkan bantuan perubatan tanpa mengira usia, jantina atau latar belakang.
Sementara itu, Azlan memaklumkan, PERKESO amat mengalu-alukan sinergi sedemikian dan diharapkan dapat membantu mengurangkan jurang dalam akses rawatan HIV.
"Usaha yang sama juga ditunjukkan oleh MAIWP dalam memberikan bantuan dana kos rawatan peringkat kedua HIV.
"Ia digerakkan sejak tiga tahun lalu kepada pesakit HIV beragama Islam di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!