Kejayaan Andrew penghormatan buat Selangor - MB

Andrew (tiga kanan) menerima anugerah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Andrew (tiga kanan) menerima anugerah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
A
A
A

ANUGERAH Atlet Lelaki Terbaik Sukan Malaysia (Sukma) 2024 dimenangi perenang Selangor, Andrew Goh merupakan satu penghormatan buat negeri Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan segala usaha dan pengorbanan dicurahkan atlet tersebut wajar dihargai selepas membolot lima pingat emas dalam temasya sukan itu.

Amirudin Shari
Amirudin Shari

"Jutaan tahniah bagi jaguh renang kita, saudara Andrew Goh Zheng Yen yang dinobat sebagai atlet lelaki terbaik Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak.

"Andrew dipilih selepas membolot lima emas dari Pusat Akuatik Pandelela Rinong. Ianya satu penghormatan buat negeri Selangor.

"Terima kasih atas usaha dan pengorbanan yang dicurahkan," ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Terdahulu, Andrew dan penembak Negeri Sembilan, Gan Chen Jie diumum sebagai Atlet Lelaki dan Wanita Terbaik manakala tuan rumah Sarawak pula muncul juara keseluruhan dengan merangkul 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa.

Andrew dan Chen Jie masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000, piala pusingan dan piala iringan yang disampaikan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Kontinjen Wilayah Persekutuan menamatkan temasya Sukma 2024 di tempat kedua dengan 75 emas, 65 perak dan 72 gangsa manakala Selangor 56-64-61.

Dalam pada itu, Amirudin turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan Selangor menduduki tangga ketiga dalam senarai keseluruhan kontinjen yang bertanding pada Sukma 2024.

"Meskipun mendapat tempat ketiga namun saya optimis dengan prestasi ini serta potensi yang ditunjukkan, Insya-Allah Selangor akan menjuarai Sukma 2026 nanti.

"Bagi pihak kerajaan negeri Selangor, saya ingin merakamkan sekalung ucapan penghargaan kepada YAB Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di atas kejayaan menganjurkan Sukma 2024 yang gilang gemilang.

"Kejayaan negeri Sarawak sudah semestinya meletakkan tanda aras yang tinggi buat Selangor selaku tuan rumah seterusnya. Insya-Allah Selangor akan berusaha dan berikhtiar sebaik mungkin," ujarnya dalam satu hantaran berasingan di laman Facebooknya.

Sebagai simbolik penutupan aksi terbesar sukan negara itu, Selangor secara rasminya diumumkan sebagai tuan rumah bagi edisi ke-22 yang akan berlangsung pada 2026 selepas menerima bendera kejohanan yang disampaikan Abang Johari kepada Amirudin.

Selangor bakal kembali mengelolakan pertandingan dwitahunan itu selepas kali terakhir ialah pada 1998 sekitar 26 tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!