[VIDEO] Kedah tuntut lagi Pulau Pinang bayar caj air mentah

A
A
A

ALOR SETAR - Kedah sekali lagi menuntut agar kerajaan Pulau Pinang membayar caj sumber air mentah yang diambil dari Sungai Muda.

Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, sehingga kini negeri jiran itu masih belum membayar walau satu sen pun kepada Kedah biarpun tuntutan dibuat sejak tahun 2010.

Mohd Yusoff
Mohd Yusoff

Menurutnya, Pulau Pinang ketika ini mengambil 84 peratus sumber airnya dari Sungai Muda, Kedah.

“Syarikat Air Darul Aman (SADA) selaku operator air di Kedah pun bayar kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) sebanyak 3 sen untuk satu meter padu.

“Jiran kita (Pulau Pinang) tak bayar walau satu sen kepada Kedah. Usaha Kedah minta caj air mentah tersebut sudah berterusan lama. Diharap Pulau Pinang dapat pertimbangkan tuntutan ini dan buat bayaran,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan pertanyaan lisan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Tokai) mengenai usaha memujuk Pulau Pinang membayar air mentah yang diambil dari Kedah.

Mohamad Yusoff berkata, Pulau Pinang wajar mencontohi SADA dengan membuat bayaran terhadap sumber air mentah yang digunakan secara percuma sejak sekian lama.

Artikel Berkaitan:

“Selaku anak syarikat kerajaan negeri pun SADA bayar kepada LSANK, apatah lagi jiran yang ambil sumber air kita dari hutan tadahan sehinggakan kita terpaksa kekalkan hutan dan tidak boleh tebang balak. Harap Pulau Pinang buat bayaran sama seperti SADA,” katanya.

Kedah sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun, berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah. Namun kerajaan Pulau Pinang dilihat enggan melayan tuntutan tersebut.

Dalam pada itu, Mohamad Yusoff memaklumkan, bagi menghadapi musim kemarau yang dijangka lebih panjang pada tahun depan, semua empangan membuat simpanan air secara maksimum untuk takungan mencukupi.

“Merujuk kepada Laporan Tinjauan Cuaca Jangka Panjang dan Jabatan Meterologi Malaysia, bermula Ogos hingga Disember tahun ini, kadar turunan hujan berada di paras purata antara 220 milimeter (mm) hingga 330 mm sebulan.

“Pelepasan air dari empangan bagi kegunaan domestik dan pertanian akan dikawal mengikut keperluan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Mohd Hayati berkaitan persediaan LSANK menghadapi kemarau agak panjang pada tahun hadapan.

Menurutnya lagi, pelan jangka pendek dan jangka panjang disediakan bagi menghadapi keadaan tersebut.

“Untuk pelan jangka pendek, LSANK mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) bagi Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan. OPA dilaksanakan pada 29 hingga 31 Julai di kawasan tadahan Empangan Muda dan Empangan Pedu.

“Hasilnya kapasiti Empangan Muda meningkat kepada 3.05 juta meter padu daripada 1.15 juta meter padu.

“Paras air di Empangan Muda, Ahning dan Pedu semakin meningkat dan dijangka dapat menyimpan sehingga 678 juta meter padu sehingga hujung Mac tahun depan,” ujarnya

Mohamad Yusoff berkata, untuk pelan jangka panjang, LSANK mohon kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi Cadangan Pembangunan Kolam Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Terdapat 27 tapak di Lembangan Sungai Muda dikenalpasti berpotensi untuk dibangunkan. Melalui RMK12, terdapat tiga cadangan pembangunan kolam TAPS di Lembangan Sungai Muda dan di Lembangan Sungai Kedah,” katanya.

Menurutnya lagi, LSANK bercadang untuk mengemukakan tambahan permohonan dalam RMK13 untuk pembangunan TAPS dan empangan rendah di sepanjang Lembangan Sungai Muda.

“Pembangunan empangan rendah berhampiran dengan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) akan bantu meningkatkan paras air di kawasan muka sauk pada musim kemarau dan mengurangkan gangguan terhadap operasi LRA.

“Inisiatif lain termasuk Projek Bekalan Sumber Air Alternatif LSANK, bagi membantu komuniti setempat yang mengalami gangguan bekalan air untuk membina atau membaik pulih stesen telaga tiub,” jelasnya.

Tambah beliau, namun projek berkenaan bergantung kepada pematuhan syarat serta semakan tapak terhadap beberapa ujian teknikal.

“Buat masa ini terdapat lapan permohonan diterima LSANK untuk pembangunan atau baik pulih stesen telaga tiub oleh komuniti setempat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!